Fasa menyambut kepulangan jemaah haji

SEPANG 4 Jun –  Urusan haji Musim Haji 1447H/2026M, memasuki fasa kedua apabila kumpulan pertama sebanyak 329 jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.13 pagi.

Kumpulan pertama yang terdiri daripada jemaah Selangor itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 11.31 pagi (waktu Arab Saudi) semalam, menaiki pesawat Saudi Airlines (SV5004).

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan dan isterinya Hanani Harun, serta Pengarah Eksekutif Pengalaman Pelanggan Tabung Haji (TH)  Mohamed Ameen Abdul Wahab.

Zulkifli berkata, ketibaan jemaah haji pertama ini bermakna bermula fasa kedua urusan haji tahun ini, iaitu fasa kepulangan jemaah.

“Alhamdulillah semuanya berlaku dengan baik dan semua jemaah haji kita berada dalam keadaan yang baik. Terima kasih kepada semua petugas haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Ketibaan Jemaah Haji Penerbangan Pertama, di sini. 

Zulkifli berkata matlamat operasi haji kali ini berjaya dicapai, antaranya TH telah menerima Anugerah Labbaikum Diamond, pengiktirafan tertinggi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.

Katanya, sepanjang musim haji tahun ini, sebanyak 65 jemaah mengalami masalah kesihatan dan sedang menjalani rawatan di hospital, manakala 17 jemaah, iaitu lapan wanita dan sembilan lelaki meninggal dunia di Tanah Suci dengan kebanyakan mereka mengalami serangan jantung.

Beliau turut memuji sikap dan disiplin tinggi yang ditunjukkan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci, sekali gus mencerminkan imej baik negara pada mata masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata jemaah haji Malaysia bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan, malah sentiasa mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta pengurusan haji.

“Malah, musim kali ini memperlihatkan pencapaian yang lebih hebat apabila jemaah haji kita turut mengitar semula barang-barang untuk dijadikan produk yang bermanfaat,” katanya.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa 31,600 jemaah haji pulang ke tanah air bermula 3 Jun dan terakhir dijadualkan pada 1 Julai ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment