HEBOH satu Malaysia mengenai perkataan celaka yang dituturkan oleh wakil rakyat DAP di Pulau Pinang, RSN Rayer. Ramai yang marah dengan kata-kata celupar itu dan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima itu menarik balik perkataan itu. Apa yang hendak ditarik balik? Kata sudah diucap. Ini bukan soal terlajak perahu. Kata-kata yang menghiris perasaan sudah diucap. Satu dunia tahu mengenainya. Apa lagi yang mahu diperbaiki? Dunia ‘tanpa sempadan’ mengajar kita untuk bercakap apa sahaja tanpa mengira sensitiviti orang lain. Lebih-lebih lagi yang turut bercakap tanpa mengira perasaan orang lain datang daripada kaum yang sama. Mereka tidak peduli dengan maki hamun yang dilontarkan di pentas politik sama ada melalui ceramah, media sosial seperti Twitter, Facebook, WhatsApp dan pelbagai lagi.
Contohnya jika orang Melayu beragama Islam yang dididik dengan pelbagai peraturan kehidupan yang baik sama ada melalui agama atau budaya sudah bersedia untuk memaki hamun sesama bangsa sendiri, apa hendak dihairankan dengan orang lain? Memang benar jika Rayer dipetik sebagai berkata, beliau dimaklumkan bahawa perkara tersebut menjadi isu disebabkan DAP yang memaki UMNO, bukannya pihak lain. Lebih menarik, Rayer didakwa berkata, perkataan (celaka) itu ‘biasa’ bagi orang Pulau Pinang. Mungkin kenyataan itu ada kebenarannya tetapi ia harus merujuk dalam ‘konteks’ apa perkataan itu diucapkan. Kadang-kadang dalam nada gurau sesama rakan, perkataan itu jadi lumrah. Bagaimanapun perkataan itu menjadi ‘luar biasa’ apabila dituturkan dalam nada yang serius, marah, tanda menunjukkan kebencian serta bergantung kepada ‘niat’ seseorang. Celaka bukanlah sesuatu yang bermaksud baik. Apa maksud celaka? Mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), celaka membawa maksud tidak baik (tentang nasib); tidak bahagia; malang dan sial. Perkataan itu juga membawa erti kata makian yang bermaksud bedebah atau jahanam. Jika dilihat maksudnya tentulah sesiapa juga akan marah.
Persoalannya adakah ‘celaka’ itu sebagai sesuatu yang biasa di Pulau Pinang? Apa komen anak-anak Pulau Pinang terutama orang Melayu dan Islam? Mungkin akan ada perbezaan pendapat. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman mempunyai pandangannya berhubung kata-kata itu. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu @ Mat Sabu, orang Pulau Pinang yang berasal dari kampung Guar Petai, Seberang Perai juga mempunyai pandangan tersendiri lebih-lebih lagi yang menuturkannya adalah rakan sekutunya, DAP. Kadang-kadang dalam politik, sesuatu yang dilarang akan bertukar menjadi perkara yang harus kononnya atas muslihat tertentu. Begitulah realiti yang ada hari ini. Maki hamun, kata-kata kesat serta sikap tidak beradab atau tidak berakhlak sudah menjadi produk biasa dalama politik termasuklah yang melibatkan orang Melayu dan Islam. Bagi sesetengah orang, mereka tidak peduli lagi akhlak dan etika. Maki hamun jadi `makanan’. Maknanya ia bukan sesuatu yang memeranjatkan dan menghairankan apabila orang bukan Melayu/bukan Islam berani ‘meminjam’ perkataan-perkataan yang menyakitkan telinga.
Jika celaka menjadi satu kebiasaan, bagaimana pula (jika ada) perkataan, ungkapan atau perbuatan lain yang dikatakan boleh menyinggung orang bukan Melayu? Tidak perlulah disebut perkataan atau ungkapan berkenaan. Cuma apakah dalam berpolitik, sudah hilang rasa hormat terhadap orang lain? Bagaimana agaknya apabila perkataan celaka itu boleh digunakan sesuka hati di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang? Kita tidak tahu perkataan itu akan ditujukan kepada siapa. Mungkin perkataan yang ‘setaraf’ dengannya akan turut diungkapkan. Apa akan jadi jika DUN Pulau Pinang menjadi gelanggang untuk menghamburkan kata-kata yang menyakitkan dan menimbulkan kebencian?
Selak tidak mahu menyebut kata-kata itu kerana bimbang ia boleh dianggap sebagai bermain api. Bimbang dituduh rasis. Memang benar ingatan Zainal Abidin supaya lebih hati-hati apabila bercakap ‘kerana mulut badan binasa’. Kata Zainal: “Kita kecewa, duka seperti dihiris apabila dia menggelar UMNO celaka. UMNO tidak kisah jika nak mengkritik parti tetapi kritikan itu biarlah beretika dan bukan dengan perkataan yang boleh menyakiti orang Melayu,”. Dalam politik sudah tidak ada etika. Demi meraih sokongan politik, pihak berkenaan akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian rakyat. Lihatlah apa yang berlaku terhadap pemimpin negara yang disindir melalui pelbagai cara. Apa sahaja tindakan dan keputusan kerajaan walaupun untuk kebaikan atau faedah bersama dipandang sinis.
Begitu kreatif rakyat Malaysia termasuk yang bergelar Melayu Islam mencipta sindiran. Walaupun tindakan itu melampaui batasan tatasusila agama dan budaya, tetapi ada sesetengah pihak tidak peduli itu semua. Bagi yang beragama Islam, soal dosa, pahala seolah- olah ditolak ke tepi. Sama ada sedar atau tidak, mereka menjadi penyumbang kepada tindak tanduk yang boleh dianggap menghina, mencerca dan mengaibkan seseorang dengan niat untuk memalu atau memperlekeh individu berkenaan. Hari ini ramai yang tidak dapat mengawal keceluparan dengan membangkitkan pelbagai isu atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat. Bercakap ikut sedap mulut dan kenyataan mereka tersiar di media cetak dan media sosial. Bagi mereka, mengeluarkan kenyataan menandakan matlamat sudah tercapai. Apakah dengan meminta maaf semuanya akan selesai? Sebelum ini banyak kata atau tindakan biadab berlalu begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kesinambungan cerita-cerita tidak beretika dan biadab yang sebelum ini sudah dihidangkan. Isu seperti ini tidak ada kesudahannya. Mulut celupar tidak mampu disekat. Mereka bercakap ikut ‘sedap mulut’. Puas dan lega apabila apa yang terbuku dan ingin diucapkan sudah dilontar . Biarlah seribu kecaman, kutukan atau ribuan laporan polis dibuat, tetapi yang penting, ‘batu sudah dilontar, tumbukan atau tikaman sudah dilepaskan’.
Sama ada mengenai sasaran atau tidak, itu perkara kedua. Mereka puas dan gembira kerana melepaskan segala-galanya sama ada berbentuk kritikan, fitnah, tohmahan, maki hamun atau penghinaan. Cakap sejengkal dibawa sehasta. Selak balik pelbagai isu – agama, bahasa, budaya, kaum yang dilontarkan sebelum ini yang mengundang pelbagai kenyataan balas yang kadangkala mencemaskan. Bak kata orang luka di tangan dapat diubat, luka di hati siapa tahu. Luka di tangan kerana pisau, luka di hati kerana kata. Memang mudah menarik balik kenyataan dan memohon maaf tetapi luka sudah hilang, parutnya tinggal juga.
UMA260514010C#