Teluk Intan suntikan semangat kepada Gerakan

MAJORITI satu undi juga satu kemenangan. Inikan pula 238 undi. Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu ada calon yang menang kurang daripada jumlah tersebut. Di P220 Baram, Sarawak, calon BN menang dengan majoriti 194 undi mengalahkan calon PKR. Maka kemenangan Presiden Gerakan, Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan kelmarin amat bermakna. Pertama, BN menambah jumlah undi yang diperoleh pada PRU lalu daripada 20,086 kepada 20,157 sementara DAP pula mengalami kemerosotan undi daripada 27,399 kepada 19,919. Kedua, Siew Keong kembali menjadi wakil rakyat di kawasan yang sama (1999 dan 2004) selepas ‘berehat’ pada PRU 2008 dan 2013 apabila tewas kepada calon DAP pada PRU berkenaan. Ketiga, Presiden Gerakan dari Perak bakal menganggotai semula Kabinet, mengulangi pencapaian bekas Presiden, Dr. Lim Keng Yaik yang dilantik sebagai Menteri Perusahaan Utama pada 2004 ketika mewakili Parlimen Beruas.

Kemenangan Siew Keong juga menebus kembali kekecewaan Presiden Gerakan yang lalu, Dr. Koh Tsu Koon yang tewas pada PRU 2008 di Parlimen Batu Kawan menyebabkan beliau dilantik sebagai Senator untuk menganggotai Kabinet. Jelaslah kemenangan di Teluk Intan memberi makna yang amat besar kepada Gerakan yang kehilangan kuasa di Pulau Pinang. Sekurang-kurangnya kemenangan ini menyuntik semangat kepada Presiden Gerakan yang baharu ini untuk memulihkan parti menjelang PRU-14 .

Jika DAP mempertaruhkan kerusi yang dimenanginya sebelum ini dengan menurunkan calon Melayu tetapi Siew Keong juga mempertaruhkan diri dan partinya bagi menghadapi PRK itu. Bayangkan jika seorang lagi Presiden Gerakan tumbang dalam pilihan raya. Menyelak kembali kedudukan kerusi Teluk Intan, seperti yang pernah diselak dalam ruangan ini sebelum ini, PRK pernah berlaku di kawasan itu pada tahun 1997 apabila wakilnya, Ong Tin Kim meninggal dunia. BN gagal mempertahankan kerusi itu apabila calonnya tewas kepada M.Kulasegaran (DAP) dengan majoriti 2,916 undi. Ketika itu, calon BN memperoleh 12,091 undi manakala DAP mendapat 15,007 undi. DAP menang dengan majoriti 2,916 undi. Peratus keluar mengundi juga rendah iaitu 53.22 peratus berbanding PRK kelmarin yang mencatatkan 66.67 peratus.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa peratusan keluar mengundi yang rendah adalah antara punca parti itu kalah kelmarin. Jumlah pengundi kurang 7,000 hingga 8,000. Beliau mendakwa pemilih yang tidak mengundi adalah mereka yang propembangkang dan berada di luar kawasan. Jika benar dakwaan ini, pengundi-pengundi berkenaan perlu mengambil iktibar bahawa setiap undi mereka amat penting untuk menentukan kejayaan calon. Mungkin disebabkan PRK yang tidak membawa apa-apa kedudukan kepada kerajaan Pusat menyebabkan ramai yang tidak keluar mengundi. PRK itu hanya akan menentukan sama ada DAP mengekalkan kerusi itu atau BN khususnya Gerakan menambah satu kerusi lagi di Parlimen.

Guan Eng juga mendakwa dua faktor lagi yang menyebabkan kekalahan DAP ialah permainan politik UMNO ketika berkempen serta hakikat Dyana Sofya adalah muka baharu di kawasan itu dan tidak mempunyai cukup masa untuk membiasakan diri dengan penduduk setempat. Tidak pasti apakah permainan politik UMNO yang dimaksudkan. Hakikatnya, permainan politik DAP ialah meletak calon Melayu, wanita muda di kawasan majoriti pengundi Cina. Apakah motif sebenar DAP? Adakah untuk memancing undi Melayu supaya menyokong calon Melayu ini sekaligus memberi kemenangan lebih besar kepada DAP? Mungkinkah juga keadaan berlaku di sebaliknya iaitu disebabkan ramai orang Melayu dijangka mengundi ‘orang Melayu’ hasil kempen Pas dan PKR, maka akhirnya pengundi-pengundi di luar menjangkakan mereka tidak perlu pulang.

Bagi mereka gabungan pengundi Cina dan Melayu meletakkan kemenangan dalam genggaman. Mungkin juga DAP menjangkakan 27,399 yang mengundi parti itu tidak akan berubah pendirian malahan kehadiran Dyana Sofya akan meningkatkan lagi undi Melayu. Memang sukar untuk ‘membaca’ gerak hati pengundi pada PRK ini. Apa pun khabarnya, sokongan masyarakat India sudah beralih kepada BN selepas mereka memberi kemenangan kepada DAP pada PRU lalu. DAP yang berani membuat pertaruhan di Teluk Intan mungkin boleh menganalisis sejauh mana berlaku sentimen kaum dalam menentukan kemenangan wanita Melayu harapan mereka itu. Adakah pengundi Cina menerima kehadiran calon Melayu dalam komuniti mereka? Jika pengundi Cina menolak atau tidak keluar mengundi kerana nama calon Dyana, adakah percaturan parti yang mahu menggambarkan mewakili pelbagai kaum ini tidak berjaya?

Adakah pendirian DAP yang menolak hudud juga mendorong penyokong Pas tidak mengundi calon DAP atau sengaja tidak keluar mengundi? Bagaimanapun khabarnya dalam menghadapi PRK, isu hudud bukan menjadi isu utama untuk Pas meneruskan kerjasama membantu DAP. Dalam erti kata lain, hudud tidak menghalang kerjasama Pas-DAP. Satu isu lagi yang turut menarik perhatian ialah apabila Dyana dan ibunya dikaitkan dengan Perkasa. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana Perkasa diheret sama pada PRU lalu bagi mempengaruhi pengundi menolak MCA. Adakah isu ini juga memberi kesan kepada Dyana? Isu Perkasa ini menambah atau mengurangkan undi?

Alasan Dyana muka baharu juga dijadikan faktor menyumbang kekalahan. Pada PRU lalu, ramai juga muka baharu. Ada yang menang walaupun keadaan ketika itu lebih sukar kerana pemimpin-pemimpin utama tidak berkesempatan berkempen untuk calon berkenaan. Masing-masing sibuk di kawasan yang ditandingi. Dalam PRK Teluk Intan ini, orang kuat DAP termasuk Lim Kit Siang mempunyai banyak masa untuk menghadapi PRK. Dulu, kenapa Siew Keong, muka lama yang dianggap sebagai calon kitar semula boleh kalah pada dua PRU lalu? DAP tidak menyesal meletakkan calon muda Melayu kerana ia telah mempamerkan prestasi yang boleh dipuji.

Mungkin pada PRU akan datang, wanita ini akan lebih bersedia. Mungkin lebih ramai lagi Dyana Sofia DAP akan muncul di kawasan seperti Gelang Patah, Ipoh Timur, Johor Bahru, Bayan Baru, Seputeh atau Kepong. Pendekatan menurunkan calon baharu dan muda di kawasan yang memang boleh menang ini akan membantu ‘tokoh-tokoh utama’ DAP untuk ‘meneroka’ kawasan lain yang mungkin memberi peluang untuk menambah kerusi. Di pihak BN, pengundinya tidak berganjak. Bagaimanapun BN tidak boleh berada dalam keadaan selesa dengan kemenangan tipis ini. PRK Teluk Intan bukanlah satu petunjuk jelas bahawa BN boleh menang mudah pada PRU akan datang. Keputusan itu hanyalah satu suntikan semangat untuk BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi.

UMA020614010C#

Related posts

Leave a Comment