Melihat strategi BN, DAP sepanjang PRK Teluk Intan

SEPERTI ada yang tersurat dan tersirat apabila Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak ‘tidur’ dan mendiamkan diri sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan mulai hari ini. Hasrat BN tentulah ingin mengambil balik kerusi yang pernah dimenanginya melalui wakil yang sama, Mah Siew Keong. BN perlu ‘bangun’ selepas ‘berehat’ ketika kempen PRK Parlimen Bukit Gelugor yang sedang berlangsung. Eloklah seluruh jentera BN digerakkan ke Teluk Intan. UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP serta parti mesra BN boleh memainkan peranan untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Teluk Intan. Ketika DAP menukar strategi menurunkan wanita Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, BN mengekalkan muka lama yang berpengalaman yang pernah mewakili pengundi-pengundi di situ.

Strategi DAP sudah tentulah antara lain mahu menunjukkan keterbukaan parti itu menurunkan calon Melayu di kawasan majoriti pengundinya adalah masyarakat Cina. Berdasarkan kesetiaan pengundi Cina kepada ‘roket’ dan bukannya siapa calon, DAP pasti yakin akan mempertahakan kerusi itu walaupun menyifatkannya sebagai satu risiko. DAP menurunkan wanita itu bagi mengubah persepsi orang ramai dan membuktikan bahawa DAP sebuah parti yang tidak didominasi kaum Cina. Pencalonan wanita itu dilihat sebagai satu pelaburan bukan bahan uji kaji. Dengan menurunkan seorang Melayu, sekutu DAP terutama penyokong Pas sudah tentu tidak berbelah-bahagi untuk menyokong calon berkenaan. Mungkin Melayu yang di atas pagar akan turut terpesona dengan strategi DAP ini. Adakah strategi ini akan turut digunakan pada pilihan raya umum (PRU)? Adakah DAP akan menampilkan lebih ramai calon Melayu di kawasan majoriti pengundi Cina seperti Gelang Patah, Bukit Gelugor, Seputeh, Kepong atau Jelutong? Mungkinkah strategi DAP ini hanya terpakai pada PRK?

Dyana Sofya, lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata: “Malaysia memerlukan politik baharu dan meninggalkan politik perkauman. Saya memilih untuk ikut haluan serta sebuah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik, ibarat minuman teh tarik yang tidak mengenal sempadan warna, umur dan segala-galanya, teh tarik terus digemari seluruh rakyat Malaysia. Begitulah perjuangan kita di tanah air tercinta, bersama-sama mencari ramuan teh tarik terbaik untuk kita, rakyat Malaysia,”

Setiausaha Politik anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang itu gembira kerana menyertai DAP pada tahun 2011. Katanya: “Kerana jika saya memilih UMNO dan bersama Shahrizat (Ketua Pergerakan Wanita UMNO), saya tidak akan berada di kedudukan saya hari ini, menyasarkan harapan ke Parlimen, menjadi wakil kepada pengundi Teluk Intan dan sekiranya diberi mandat, menjadi Ahli Parlimen paling muda di Parlimen,”. Ya sekurang-kurangnya Ahli Parlimen paling muda untuk tempoh sekarang kerana tidak semua orang akan kekal muda!

Setakat ini DAP telah membuktikan bahawa masyarakat Cina menerima calon Melayu seperti yang berlaku di Bayan Baru. Begitu juga dengan PKR yang pernah menurunkan calon Melayu di kawasan yang sama serta di beberapa kawasan lain yang majoriti pengundinya adalah Cina. Jelas sekali pengundi-pengundi di kawasan berkenaan bertekad memilih parti. Mungkin inilah juga harapan DAP kali ini supaya lebih ramai calon Melayu diturunkan.

Strategi politik DAP ini tidak boleh dipandang sepi ketika BN masih mengekalkan ‘kaedah’ lama bukan sahaja dalam menentukan pemilihan calon malahan ketika menggerakkan jentera kempen. Adakah pendekatan berkempen BN sudah berubah? Apakah corak kempen, penyediaan poster, risalah bagi menampilkan calon masih seperti dahulu? Tidak ada pembaharuan, tidak kreatif, tidak ada ‘magnet’ yang boleh menarik perhatian pengundi? BN perlu melakukan perubahan. Berubah dalam pelbagai aspek. Paling penting tanamkan sikap mengutamakan kemenangan parti. Walaupun faktor calon juga penting tetapi lihat dulu kemenangan parti. Tidak dinafikan, ada sesetengah pengundi yang tidak peduli siapa calon, tidak peduli sama ada mereka ‘turun padang’ atau tidak. Apa yang penting, parti mesti menang. Selepas menang, terserahlah kepada wakil rakyat itu untuk datang semula lima tahun akan datang atau turun setiap minggu ke kawasan. Cuba selak dan amati kembali, di pihak manakah yang pada kebiasaannya paling resah dan akan ‘bercakap’ apabila wakil rakyat tidak turun padang.

Semalam, dalam satu program di Sabah, Ketua Menteri, Musa Aman mengingatkan anggota BN supaya ‘turun padang’ untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan permasalahan rakyat, yang menjadi amalan pemimpin kerajaan BN selama ini, tidak kira pada musim pilihan raya atau tidak untuk kerajaan BN menunjukkan penghargaan terhadap rakyat yang menyokong dan memberi mandat. Katanya: “Kita mesti sedar, kita ini berkuasa atau menjadi wakil rakyat adalah atas sokongan rakyat, atas pilihan rakyat. Oleh itu, kita jangan lupa, jangan sombong, jangan angkuh kepada rakyat. Yang penting, sebagai pemimpin, kita mesti mendekati rakyat,”. Adakah semua pengundi peduli program turun padang?

Peluang BN memang ada tanpa memperkecilkan keupayaan DAP. Seperti diselak dalam Selak Lihat corak pengundian di Bukit Gelugor, Teluk Intan pada 5 Mei lalu, Teluk Intan pernah mengalami PRK pada 1997 apabila wakilnya, Ong Tin Kim meninggal dunia. BN yang menurunkan Dr. Chee See Choke (Gerakan) tewas kepada M.Kulasegaran (DAP). Bagaimanapun pada PRU 1999, Siew Keong menang dengan majoriti 2,783 undi. Kerusi itu kekal kepada Siew Keong pada 2004 dengan majoriti 10,041 undi. Pada 2008, BN kehilangan kerusi itu selepas tewas kepada M.Manogaran (DAP) yang menang dengan majoriti 1,470 undi. Pada PRU lalu, Siew Keong kalah kepada Seah Leong Peng yang menang dengan majoriti 7,313 undi.

Khabarnya, BN mempunyai hampir 30,000 ahli yang akan menggerakkan jentera bagi memenangi hati lebih 60,000 pengundi. Berapa pula jumlah yang menjadi pengundi setia BN? Majoriti pengundi adalah masyarakat Cina sementara Melayu 37 peratus dan India 20 peratus. Presiden MIC, G.Palanivel yakin memperoleh 70 peratus undi masyarakat India. Parti itu mempunyai 4,700 pengundi dan lebih 7,000 pengundi India lagi bukan anggota parti. Adakah MIC mampu menawan hati pengundi-pengundi masyarakat India? Mungkin parti mesra BN seperti IPF dapat sama-sama membantu. MCA dan Gerakan pula berperanan untuk menarik perhatian pengundi-pengundi Cina. Jika pada PRK Kajang, pencapaian masih belum memuaskan, eloklah kedua-dua parti itu menunjukkan keupayaan mereka di Teluk Intan. Tidak perlulah parti komponen BN membuat pelbagai tanggapan bagi mewajarkan strategi DAP menurunkan calon wanita Melayu ini. Apa pun kita lihat perkembangan mulai hari ini. Adakah DAP berjaya mencari ‘ramuan teh tarik terbaik’ untuk orang Malaysia supaya teh tarik itu tidak memudaratkan rakyat.

UMA190514010C#

Related posts

Leave a Comment