TEHRAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa melancarkan serangan dron terhadap Armada Kelima Amerika Syarikat (AS) di Bahrain sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan” tentera AS ke atas beberapa lokasi di negara itu.
Dalam kenyataan rasmi, IRGC memaklumkan bahawa pertempuran masih berterusan dan memberi amaran bahawa tindakan balas yang lebih berat akan menyusul sekiranya serangan oleh AS tidak dihentikan.
IRGC turut mengesahkan bahawa AS telah melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di selatan Iran, termasuk Jask, Sirik dan Pulau Qeshm.
Serangan tersebut dilaporkan menyebabkan kerosakan terhadap sebuah menara telekomunikasi serta memusnahkan dua tangki air di daerah Bemani, Sirik.
Konflik terkini dilihat sebagai kesinambungan siri serangan balas antara kedua-dua pihak, yang bermula dengan insiden melibatkan kapal tangki dan kemudahan Iran berhampiran Selat Hormuz.
Walaupun IRGC mendakwa serangan berjaya dilaksanakan, pihak tentera AS sebelum ini menolak dakwaan serupa dan menyatakan bahawa semua serangan Iran terhadap aset ketenteraan Amerika gagal atau berjaya dipintas.
Namun begitu, Iran menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap keselamatan negara itu akan dibalas secara setimpal, dan memberi amaran bahawa gangguan terhadap keselamatan di Selat Hormuz akan membawa “harga yang mahal” kepada pihak lawan.
Pertukaran serangan antara Iran dan AS ini dilihat meningkatkan risiko konflik lebih besar di rantau Asia Barat, khususnya di kawasan strategik Teluk dan Selat Hormuz.
