PARIS – Perancis melarang kemasukan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, sebagai sebahagian daripada sekatan yang diselaraskan bersama beberapa negara lain berhubung keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin.
Smotrich merupakan anggota kedua kerajaan Israel yang dilarang memasuki Perancis dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini pada 23 Mei lalu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir, dikenakan larangan serupa kerana memperlekehkan aktivis yang ditahan tentera Israel daripada flotila bantuan ke Gaza.
Sebelum ini, United Kingdom (UK), Australia, Canada, New Zealand dan Norway mengenakan larangan perjalanan terhadap kedua-dua menteri itu pada Jun tahun lalu atas dakwaan menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.
Negara lain seperti Sepanyol, Slovenia dan terbaru Ireland turut mengambil tindakan sama.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata larangan itu dikenakan kerana Smotrich secara aktif menyokong pengilhakan Tebing Barat, pembinaan penempatan baharu, penjajahan semula Gaza serta tindakan yang boleh melemahkan Pihak Berkuasa Palestinian.
“Ini adalah dasar yang tidak boleh diterima oleh majoriti besar masyarakat antarabangsa yang komited kepada penyelesaian dua negara,” katanya
Selain Smotrich, Perancis turut mengenakan sekatan terhadap empat pemimpin pertubuhan peneroka dan 21 peneroka yang didakwa terbabit dalam keganasan.
Kementerian Luar Israel mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai “memalukan”.
Smotrich dan Ben Gvir merupakan tokoh utama dalam kerajaan campuran sayap kanan pimpinan Benjamin Netanyahu.
Nnnn
