PEMILIHAN pucuk pimpinan parti kom-ponen Barisan Nasional (BN) diteruskan hujung bulan ini apabila MIC akan memilih barisan kepemimpinannya (2013-2016). Setelah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh G.Palanivel dan Dr. S.Subramaniam, tumpuan kini terarah kepada pemilihan naib presiden dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC). Lapan orang menawarkan diri untuk tiga jawatan naib presiden dan 88 orang untuk 23 jawatan anggota CWC. Bagi jawatan naib presiden, M.Saravanan dan S.K. Devamany mahu mempertahankan jawatan dan S.Sothinathan mahu menduduki semula kerusi yang pernah didudukinya. Lima lagi calon ialah S.A Vigneswaran, T.Mohan, Jaspal Singh, S.Balakrishnan dan C.Selvaraja. Bilangan ini meletakkan pemilihan kali ini sebagai paling ramai dalam sejarah pemilihan sejak MIC ditubuhkan pada tahun 1946. Adakah ruang untuk anggota parti menawarkan diri bertanding kini lebih terbuka berbanding pada masa lalu?
Eloklah anggota parti diberi ruang secukupnya kerana pemilihan parti merupakan proses demokrasi yang dapat menentukan hala tuju kepemimpinan parti. Cuma berhati-hati ketika menggunakan peluang itu kerana pemilihan juga boleh meruntuhkan perpaduan dan kesejahteraan sekiranya tidak dikawal lebih awal. Jika diselak kembali pemilihan pada masa lalu, tidak ramai yang menawarkan diri untuk jawatan No.3 dalam parti. Begitu juga bagi jawatan No.1 dan No.2. Detik-detik pemilihan MIC sebelum ini pada era S.Samy Vellu sebagai Presiden cukup dramatik dengan pelbagai insiden politik yang ‘berwarna-warni’ dan sering menjadi tumpuan. Pada setiap pemilihan, ada sahaja pemimpin yang dilahir dan digilap. Ada juga pe-mimpin yang ‘dibunuh’ karier politik mereka yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan. Akibatnya, MIC kehilangan ramai pemimpin berpotensi yang menjauhkan diri malahan meninggalkan parti sama ada untuk menganggotai parti lain, menubuhkan parti baru, atau menyertai pihak pembangkang. Dilema tersebut turut menyebabkan, MIC hilang daya tarikan daripada kumpulan profesional yang suatu ketika dulu menjadi benteng kekuatan parti itu.
Menjelang pemilihan MIC, eloklah perwakilan melihat kembali senario pemilihan 2009. Apakah yang dijanjikan oleh calon-calon yang bertanding? Nilai semula calon-calon yang sekadar menawarkan diri untuk mengejar jawatan tetapi gagal memberi sumbangan kepada parti terutama pada pilihan raya umum (PRU).
Ingatlah nasib malang yang berlaku ke-pada MIC pada PRU 2008 dan 2013. Apakah kedudukan sebenar MIC ketika ini? Pada PRU 2008, MIC hanya memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada PRU lalu, menang empat kerusi Parlimen dan lima DUN.
Penganalisis politik, Anbumani Balan berkata, semua pemimpin MIC perlu menerima hakikat kedudukan parti itu selepas dua PRU. Bukan lagi masanya untuk anggota parti terutama peringkat pemimpin menunjukkan ego, bermain politik ‘syok sendiri’ ataupun bertindak seperti pemimpin ‘jaguh kampung’. MIC perlu bangkit semula menggunakan seluruh kekuatan anggota parti itu, bukan sekadar melet akkan harapan kepada 1,500 perwakilan yang akan membuat pilihan hujung bulan ini.
Para perwakilan perlu membina semula nambikei ataupun keyakinan masyarakat India dengan mereka sendiri perlu bersikap jujur dan ikhlas. Dua perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh perwakilan (bukan setakat MIC tetapi dalam mana-mana parti politik sekali pun) ialah menolak atau menyingkirkan pemimpin yang membeli undi kerana terlalu taksub mahu mengejar jawatan dan menolak budaya ‘samseng’. MIC selepas dikecewakan pada PRU 2008 termasuk berakhirnya ‘penguasaan’ Samy Vellu, banyak cadangan, kritikan dan pandangan yang dilontarkan untuk memulihkan imej parti itu seiring dengan peredaran zaman yang semakin mencabar ini. Tetapi sejauh mana kejayaannya?
Proses transformasi, perubahan dan peremajaan politik hanya dapat dilaksana dan direalisasikan sekiranya semua anggota parti bersedia untuk menerimanya melalui pemikiran dan minda yang terbuka demi masa depan parti. Dalam hubungan ini, Anbumani juga berpendapat, anggota parti perlu keluar dari dilema penafian ke alam realiti
dan kebenaran. Baginya, kini, bukanlah masa untuk menunjukkan kekuatan, kebolehan dan kemampuan dalam parti sendiri semata-mata mahu meraih jawatan. Gunakanlah segala hak dan kuasa sebagai anggota parti untuk memilih pasukan kepemimpinan yang bersih, cekap dan amanah yang dapat memimpin masyarakat India dan bukan sekadar mahu menjadi ketua untuk ahli-ahli parti sahaja. Jangan sampai pemilihan parti menular sehingga menjadi penyakit yang boleh merosakkan segala agenda transformasi parti itu. Masyarakat India sedang memerhatikan segala percaturan politik dalaman MIC dengan serius.
Ingatlah, permainan politik yang melampau boleh menyebabkan masyarakat India menyampah dan hilang keyakinan terhadap MIC. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengkaji dan menilai kekalahan parti di peringkat negeri secara terperinci pada PRU lalu. Masanya juga sudah tiba untuk MIC merombak semula pendekatan politik di peringkat negeri untuk memperkasakan kuasa politiknya yang ternyata kehilangan taring sejak PRU ke-12.
Setiap pemimpin yang menawarkan diri untuk bertanding perlu menjadi tunjang kekuatan MIC, bukan sekadar komponen ‘kosmetik’ dalam parti itu yang mahu bertanding untuk memuaskan proses demokrasi. MIC memerlukan kualiti bukannya kuantiti. MIC juga perlu ingat, status parti itu yang mewakili masyarakat India di negara ini semakin tergugat, terancam dan tercabar disebabkan kemunculan ‘kuasa baharu’ yang mahu menjadi saluran politik alternatif kepada masyarakat India. MIC perlu bersedia berdepan dengan segala cabaran, halangan dan rintangan yang mendatang dari semua arah untuk membina semula kewibawaan yang lebih menyerlah, tersusun dan terancang seperti mana yang diharapkan oleh masyarakat India di negara ini termasuk generasi muda.
Masyarakat India memerlukan kepemimpinan yang kuat untuk menangani segala permasalahan seiring dengan proses pembangunan negara. Banyak isu asas mengenai masyarakat India hanya diselesaikan secara adhoc yang turut menimbulkan pelbagai situasi yang kurang menyenangkan dari masa ke semasa. Fenomena seperti inilah yang memberikan tekanan dan cabaran kepada MIC untuk membawa suara masyarakat India ke peringkat atasan dengan lebih berani dan bertenaga untuk mencari penyelesaian yang efisien dan efektif.
MIC perlu merencanakan strategi baru untuk memperjuangkan urimai ataupun hak masyarakat India. Semuanya ini memerlukan kekuatan politik parti yang kini diterajui Palanivel.
UMA181113010C001#