SEPANG 12 Jun – Bekas Setiausaha Sulit Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad, menolak dakwaan Pas yang menyatakan Bersatu bersikap rakus dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya.
Marzuki yang mewakili Bersatu dalam rundingan kerusi sejak zaman Pakatan Harapan (PH) 1.0 hinggalah ke zaman Perikatan Nasional (PN), berkata pembahagian kerusi antara parti mengikut proses dan berdasarkan formula tertentu.
“Proses bermula di peringkat negeri. Wakil-wakil parti di peringkat negeri akan berbincang dahulu parti mana akan bertanding di kerusi mana dan biasanya 50 peratus rundingan selesai di peringkat negeri.
Baki 50 peratus yang ada pertindihan antara parti anggota dibawa ke Jawatankuasa Rundingan Kerusi di peringkat pusat untuk diselesaikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Semalam, Presiden Pas Abdul Hadi Awang, mendedahkan beberapa punca didakwa menjadi sebab kepemimpinan pusat parti mengambil keputusan memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu termasuk dakwaan cubaan melemahkan dan memperbodohkan partinya.
Beliau turut mendakwa Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah berkenaan jumlah ahli dan jenteranya.
Katanya, apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri.
Dalam pada itu Marzuki berkata, pembahagian kerusi juga mengambil kira kerusi penyandang juga dikekalkan kepada parti yang menguasainya sebelum ini.
“Pertama, kerusi ‘incumbent’ kekal ditandingi parti penyandang kerusi itu, Misalnya Pagoh ditandingi Bersatu dan Marang ditandingi Pas. Kerusi-kerusi ini tidak akan dipertikaikan.
“Kedua, pembahagian kerusi mengambil kira pengaruh dan kekuatan parti dengan Pas lebih banyak bertanding di negeri majoriti besar Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana pengaruh dan jentera Pas kuat di negeri-negeri ini dan ini kerusi-kerusi Gred A PN.
“Di negeri-negeri Pantai Barat pula jumlah kerusi yang ditandingi Bersatu dan Pas hampir seimbang kerana pengaruh dan kekuatan kedua-dua parti hampir sama di negeri-negeri ini,” katanya.
Marzuki berkata, kerusi Gred B PN pula menonjolkan pengaruh dan kelebihan yang berbeza di mana ada kerusi pengaruh Pas lebih kuat dan ada kerusi pengaruh Bersatu lebih kuat.
“Ketiga, goodwill. Kalau dikira dari segi jentera, secara umumnya Pas lebih kuat daripada Bersatu namun Bersatu diberikan laluan bertanding di kerusi-kerusi di mana jentera Pas lebih kuat untuk menampilkan imej PN sebagai sebuah parti nasional yang moderat.
Bersatu mengimbangi imej Islamis-konservatif Pas dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama. Ini formula yang digunakan oleh Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PN.
Inilah juga formula yang memberikan kemenangan besar kepada Pas dalam PRU 15 dan Pilihan Raya Negeri 2023 seperti yang diakui oleh Presiden Pas sendiri,” katanya.
Beliau berkata, kira-kira 95 peratus hal berkaitan kerusi dapat diselesaikan melalui Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PN dan baki lima peratus yang bertindih dibawa ke Majlis Presiden untuk diselesaikan.
“Selepas Majlis Presiden membuat keputusan, senarai pembahagian kerusi disediakan dan ditandatangani oleh semua Presiden parti anggota.
“Muhyiddin sebagai Pengerusi PN menandatangani watikah calon berdasarkan senarai pembahagian kerusi yang telah dipersetujui oleh Majlis Presiden.
“Walaupun kuasa memberikan watikah ada di tangannya, beliau tidak pernah memberikan watikah kepada calon Bersatu sekiranya kerusi itu telah dipersetujui oleh Majlis Presiden untuk ditandingi oleh Pas,” katanya.
Katanya, perkara sedemikian tidak pernah berlaku, siapa calonnya ditentukan oleh Pas dengan adil dan saksama.
Nnnnn
