Lama atau baharu, bukan faktor utama kemalangan

LEGA. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila Timbalan Menteri Pengangkutan, Abdul Aziz Kaprawi menjelaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan tempoh usia kenderaan bagi tujuan pelupusan. Sejak ‘penemuan’ kajian bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya, ramai pengguna yang gelisah. Walaupun keputusan muktamad belum dibuat ketika itu, tetapi cakap-cakap yang kedengaran ialah kerajaan akan melaksanakan cadangan tersebut, maknanya kenderaan berusia 12 tahun akan dihapuskan. Maka banyaklah komentar yang didengar. Tidak kurang juga yang menuding jari terhadap kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN). Pihak ini yang sentiasa mencari ‘kesalahan’ walaupun tujuan pelaksanaan cadangan itu untuk kebaikan akan mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan.

Menyelak kembali bagaimana isu mengehadkan usia kenderaan ini timbul, ia adalah hasil kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon. Ketika itu di Melaka, pada 15 November lalu, beliau menyatakan bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu. Kenyataan itu seharusnya diteliti dengan baik supaya tidak ada pihak yang melatah dan membuat andaian tidak tepat berhubung kenyataan berkenaan.

Rujuk kembali beberapa fakta berkaitan kenyataannya iaitu:

*Kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak di-sedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

*Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun. Bagaimanapun jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk, cara pemanduan dan penyelenggaraan.

*Kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.

*Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian.

*Kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Berdasarkan kenyataan itu, usia kereta bukan faktor utama sebaliknya turut melibatkan cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan. Di jalan raya atau di lebuh raya, kenderaan yang bagaimana memecut laju? Mungkin disebabkan kelajuan ini, kereta itu terbabas dan melibatkan kereta lama yang sudah berusia. Dalam hal ini, siapakah yang bersalah? Adakah kereta yang sudah lanjut usia atau pemandu kereta baharu yang memecut laju sehingga terbabas? Di sinilah cara pemanduan menjadi faktor penyebab kemalangan.

Begitu juga dengan penyelenggaraan. Adakah setiap kenderaan yang berada di atas jalan menjalani ujian berkala sekurang-kurangnya setahun sekali? Jika ada di mana ia dilakukan? Lihatlah di jalan raya termasuk lebuh raya, adakah tidak ada langsung kereta baharu yang tersadai di tepi jalan? Berkaitan penyelenggaraan, cuba selak apa yang dilakukan terhadap teksi di negara ini. Begitu juga pengangkutan awam lain.

Teksi yang dikatakan jangka hayat hanya lima tahun tetapi boleh bergerak di atas jalan sehingga 10 tahun. Pernah sebelum ini, ia hanya layak untuk lima tahun tetapi kemudiannya boleh dijadikan kenderaan biasa. Jangka hayat itu kemudiannya ditingkatkan kepada tujuh tahun dan selepas itu boleh ditukar kepada kenderaan biasa. Seterusnya kini 10 tahun. Istimewanya teksi ini ialah, setiap kenderaan perlu memasuki peme-riksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan. Di situ pelbagai aspek fizikal kenderaan diperiksa termasuk keadaan tayar dan brek. Setiap kali pemeriksaan, pemandu dikenakan bayaran sebanyak RM55 dan jika gagal, kehadiran kali kedua dikenakan RM25. Bagi memastikan tidak menanggung kos berikutnya, maka setiap pemilik teksi perlu memastikan kenderaan mereka benar-benar dalam keadaan terbaik termasuk kebersihan. Semua ini memerlukan kos yang tinggi supa-ya ujian pertama di Puspakom tidak gagal. Gagal bermakna mereka akan hilang mata pencarian untuk beberapa hari. Dalam hal ini, bantuan Tayar 1Malaysia (TR1Ma) dapat meringankan beban pemandu teksi. Persoalannya kenapa mereka ini tidak dilayan seperti 1,000 pemilik Teksi 1Malaysia (Teks1M) yang dikecualikan membayar kos pemeriksaan?

Mengikut pengalaman kebanyakan pe-mandu teksi, mereka akan berhadapan dengan masalah disebabkan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi. Ada sahaja masalah melibatkan teksi yang sepatutnya lasak bagi menampung jumlah penumpang dan jarak perjalanan setiap hari. Banyak kos yang dikeluarkan terutama semasa mahu memasuki Puspakom. Tidak hairanlah ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar rakan-rakan lain semasa menjalani pemeriksaan. Begitulah ketegasan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap teksi. Kenapa teksi atau pengangkutan awam lain sahaja yang perlu menjalani pemeriksaan ini? Adakah nyawa pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak ada nilainya?

Kembali kepada jangka hayat kenderaan. Bayangkan jika had 12 tahun dilaksanakan.

Berapa banyak pemilik kenderaan akan mengeluh. Sudah tentu ramai (kebanyakan golongan berpendapatan rendah) yang mempunyai kereta yang sudah berusia 12 tahun atau menghampiri usia itu. Golongan ini, membeli kenderaan melalui pinjaman bank dengan bayaran ansuran selama sembilan tahun. Pihak bank akan memberi apa sahaja alasan untuk mendorong pembeli memilih bayaran balik selama sembilan tahun. Ini bermakna selepas dapat bernafas sedikit setelah melangsaikan hutang selama 108 bulan, pemilik kenderaan hanya mempunyai tempoh empat tahun lagi sebelum kereta itu dilupuskan. Mahu dijual mungkin murah. Masuk akhir tahun 12, pengguna akan mula memikirkan untuk memulakan hutang baru bagi membeli kenderaan. Begitulah seterusnya. Semuanya ini pasti akan memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Adakah langkah ini juga bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya terutama di kawasan bandar?

Seperkara lagi, sejauh mana usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya? Beberapa langkah yang diambil sebelum ini nampaknya kurang mendapat perhatian banyak pihak malahan ada yang membuat bantahan. Memang agak sukar untuk memperkenalkan sesuatu demi kebaikan bersama. Ada sahaja alasan dan asakan yang ditimbulkan sehingga pihak berkuasa yang melaksanakan undang-undang berada dalam keadaan serba salah. Begitulah apabila pihak berkuasa perlu akur mendengar isi hati rakyat.

UMA251113010C001#

Related posts

Leave a Comment