SEPANG 12 Jun – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta tetapi kekal sebagai ahli PKR.
Beliau yang sudah 18 tahun bersama parti dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat bagaimanapun akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.
Chean Chung berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepemimpinan parti yang didakwanya gagal tampil membetulkan kesilapan dan memberikan penjelasan berhubung beberapa isu dibangkitkannya.
“PKR hari ini bukan lagi PKR yang saya kenali dahulu. Barisan kepemimpinan , demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil membetulkan kesilapan parti. Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepemimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Katanya , antara perkara yang mengecewakan apabila akses sistem MyKhas bagi kawasannya dibatalkan pada 29 Mei lalu menyebabkan beliau tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.
“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti (PKR) dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Chean Chung, sehingga kini hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan keputusan membatalkan akses itu akibat daripada pilihan politik tanpa PKR memberikan sebarang penjelasan rasmi kepadanya atau kepada pengundi.
Untuk rekod, Chean Chung antara Ahli Parlimen PKR yang menghadiri pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada 17 Mei lalu, parti yang diambil alih oleh bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Chean Chung dalam pada itu mengimbau pembabitannnya selama 18 tahun dalam PKR termasuk berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di pejabat Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mengimbau kemenangannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu pada 2013, kerusi yang tidak pernah ditembusi sejak 2004 dan kemudian memegang jawatan seperti Bendahari Agung dan Pengarah Komunikasi PKR.
“PKR pada waktu itu tidak mengamalkan budaya di mana ‘pemimpin pusat turun sebagai calon payung terjun, menabur wang dengan sumber yang dikuasai’ pada waktu itu.
“Pusat khidmat pertama yang saya cari ketika itu sebenarnya boleh digelar sebagai ‘ruang kongsi’ kerana saya tidak mampu menyewa keseluruhan premis, sebaliknya hanya mampu menyewa separuh ruang pejabat tingkat atas di Jalan Haji Ahmad, Kuantan.
“Rasa segan dan rasa bersalah berbaur apabila diimbau semula pengalaman ini, kerana pembantu pertama saya, Pang hanya mampu saya berikan elaun minyak sebanyak RM300 sebulan,” katanya.
Beliau turut terbabit dalam beberapa kempen parti termasuk #KitaLawan serta usaha menuntut pembebasan Anwar selepas beliau dipenjarakan pada 2015 serta usaha memperjuangkan isu alam sekitar di beberapa lokasi termasuk Tasik Chini dan Baram, Sarawak.
Selain itu, beliau pernah berdepan risiko kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat apabila didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman susulan pembabitannya dalam siri himpunan menuntut pembebasan Anwar dan reformasi institusi.
“Pada 9 Februari 2015, sehari sebelum Anwar Ibrahim dipenjarakan, saya bersama rakan-rakan seperjuangan menganjurkan majlis makan malam solidariti di Padang Timur, Petaling Jaya yang dihadiri ribuan orang.
“Selepas Anwar dipenjarakan, kami menggerakkan kempen #Kitalawan sepanjang 2015 hingga 2016 untuk menuntut pembebasan Anwar, siasatan terhadap (Datuk Seri) Najib (Razak) dan reformasi institusi.
“Ketika itu Pas sudah keluar dan Pakatan Rakyat telah berpecah. Saya menyaksikan sendiri bagaimana himpunan di Sogo yang pada awalnya kecil dan lengang, kemudian berkembang semakin besar seiring dengan perkembangan isu 1MDB dan pelbagai isu lain. Ia benar-benar satu keajaiban kuasa rakyat.
“Malangnya, saya dan beberapa rakan telah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman,” katanya.
Beliau menjelaskan, tulisannya yang panjang lebar itu bukan untuk membandingkan diri dengan sesiapa tetapi sekadar ingin merumuskan pengorbanan zaman muda dan sedikit sumbangan selama bertahun-tahun.
