1435: Semangat mahu berhijrah atau terus kekal di takuk lama

TAHUN 1434 Hijrah berakhir hari ini. Esok, kita akan melangkah memasuki 1 Muharam 1435 Hijrah. Memang pantas masa berlalu. Eloklah dalam menyambut awal Muharam lewat petang ini, kita sama-sama melakukan beberapa amalan sunat seperti berpuasa, solat sunat dan zikir, berdoa akhir tahun pada hari terakhir Zulhijah hari ini selepas Asar dan berdoa awal tahun selepas Maghrib. Kurang dua bulan, kita akan memasuki pula tahun 2014 Masihi. Sama ada Hijrah atau Masihi, kedua-duanya membawa maksud bahawa masa tidak pernah menunggu kita. Inilah yang dikatakan masa itu emas, terlalu tinggi nilainya. Peralihan tahun ini bermakna usia kita juga ‘berhijrah’ setahun lagi. Apakah pengisian penghijrahan ini? Hijrah bukan sekadar menutup ‘buku lama’ (1434) tetapi apa yang lebih penting ialah pengisian ‘buku baru’ (1435).

Adakah ia lebih baik berbanding tahun sebelumnya atau lebih buruk? Semuanya terletak di tangan kita. Skop hijrah juga perlu dilihat dengan lebih meluas bukan sekadar membawa maksud penghijrahan umat Islam dari Kota Mekah ke Madinah. Hijrah pada ketika ini juga membawa maksud perubahan daripada keburukan kepada kebaikan, daripada kebaikan kepada yang lebih baik, daripada kejahilan kepada berilmu pengetahuan, daripada cara hidup yang jauh menyimpang daripada Islam kepada hidup selari dengan landasan al-Quran dan sunnah. Semuanya ini memerlukan iltizam dan pengorbanan yang tinggi, semangat jihad serta keyakinan untuk berubah.

Dalam hal ini, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Orang-orang yang beriman, berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (al-Taubah: 20)

Selaklah kembali apa yang kita telah lakukan sebelum ini. Adakah lebih banyak keburukan berbanding kebaikan? Jika banyak yang baik, eloklah dipertingkatkan lagi kebaikan itu. Sama-samalah kita berhijrah untuk melakukan perubahan. Jika selama ini kita mengamalkan gaya hidup bebas tanpa batasan, berhijrahlah untuk kebaikan, jika selama ini kita memandang mudah soal halal-haram apa yang kita peroleh, maka sudah tiba saatnya untuk menumpukan kepada perkara-perkara yang halal. Sebenarnya, banyak lagi penghijrahan yang boleh dilakukan. Mungkin bagi perokok yang semakin terbeban dengan harga rokok dapat berazam untuk mengurangkan tabiat merokok atau berhenti terus demi kebaikan bersama. Tentunya hijrah untuk tidak merokok ini bukan sekadar membawa kebaikan kepada diri sendiri tetapi juga keluarga sama ada isteri atau anak-anak. Bukan sekadar menyelamatkan poket tetapi juga mengelakkan masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan merokok.

Begitu juga bagi yang rasa terbeban dengan kos kenderaan yang meningkat terutama berikutan kenaikan harga minyak. Belajarlah berubah daripada membawa kenderaan dari rumah sehingga ke pintu pejabat kepada menggunakan pengangkutan awam (jika ada) sama ada bas, transit aliran ringan (LRT), monorel atau komuter. Langkah ini tentunya dapat menjimatkan kos minyak, mengurangkan tekanan dan pembaziran masa ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya, menyelamatkan kos bayaran tempat letak kereta, tol dan sebagainya.

Elok juga dalam menghadapi kenaikan harga gula, pengguna dapat ‘berhijrah’ untuk mengurangkan penggunaannya sama ada dalam makanan atau minuman. Begitu juga kurangkan minuman yang melibatkan penggunaan gula dan susu sama ada yang ditin atau dibotolkan. Tentunya pengurangan ini bukan sahaja dapat mengurangkan belanja tetapi membantu mengurangkan risiko penyakit yang dikaitkan dengan pemanis yang memudaratkan ini.

Di jalan raya juga, rakyat kita yang berlumba-lumba boleh mengubah tabiat mereka. Cuba selak iklan di muka 4 hari ini. Iklan Kementerian Pengangkutan itu berbunyi : Mencelah-celah di jalan raya tidak menjimatkan masa. Ia membazirkan nyawa. Jangan mencelah-celah. Ikut Lorong Anda. Anda Mampu Mengubahnya’’.

Perubahan dalam aktiviti seharian ini merupakan sebahagian kecil daripada penghijrahan yang boleh dilakukan dalam semangat menyambut Awal Muharam ini. Terserah kepada individu atau kumpulan sama ada mereka berani melakukan penghijrahan atau terus kekal dalam suasana yang sedia ada.

Tentunya dalam kehidupan berpolitik dan masyarakat juga memerlukan penghijrahan. Hentikan permusuhan dan perbalahan yang merugikan umat Islam khu-susnya orang Melayu. Berhijrahlah untuk menyatukan umat Melayu Islam. Sudah ada tanda-tanda perpecahan dalam kalangan umat Melayu Islam amat merugikan.

Berbalik kepada sambutan Maal Hijrah tahun ini, kerajaan sekali lagi mengekalkan tema tahun lalu iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Tema ini merujuk kepada pendekatan sederhana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti mana termaktub dalam Piagam Madinah yang dipersetujui Nabi Muhammad SAW dengan masyarakat bukan Islam. Ia menyerlahkan semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling faham memahami, ber-kerjasama dan hidup secara harmoni.

Perlembagaan Madinah mempertahankan kebebasan beragama dan keadilan kepada semua dan melindungi minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah juga berpegang kepada prinsip akidah, iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ia menekankan aspek berimbang, adil dan kepelbagaian. Tetapi ia juga bukan pula bermaksud sama rata, tetapi adalah pendekatan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama tanpa mengira bangsa dan agama. Ia juga bukanlah duduk di tengah-tengah tanpa pendirian, tetapi bertujuan mengutama dan menjaga perkara-perkara dasar dan prinsip persaudaraan berlandaskan ajaran Islam.

Ia juga memberikan gambaran yang tidak ekstrim dalam sesuatu hal tetapi tegas dalam hal yang berkaitan dengan prinsip, tidak boleh mengorbankan maslahah orang ramai demi kepentingan individu tetapi tidak pula maslahah orang ramai untuk mengorbankan kepentingan individu.

Jika ada sebarang perselisihan, selesaikan dengan baik seperti panduan yang diberikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Akhirnya, selamat menyambut Awal Muharam atau Maal Hijrah. Semoga tahun 1435 ini akan membawa keberkatan, kebahagiaan dan ketenteraman kepada negara dan masyarakat seluruhnya.

UMA041113012C001_2#

Related posts

Leave a Comment