TEL AVIV – Kumpulan pemantau anti-penempatan, Peace Now mendakwa, Kerajaan Israel sedang mempertimbangkan peruntukan dana berskala besar bagi memperluas penempatan di Tebing Barat yang diduduki.
Dalam laporan yang dikeluarkan, Peace Now berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan awal sebanyak 152 juta shekel (kira-kira AS$51 juta) bagi menyediakan pelan pembinaan untuk 69 penempatan dan pos luar di wilayah berkenaan.
Kumpulan itu turut memaklumkan Kabinet Israel telah menangguhkan keputusan berhubung cadangan tambahan sebanyak 1 bilion shekel (kira-kira AS$338 juta), yang jika diluluskan, akan menjadi antara peluasan penempatan terbesar dalam beberapa dekad.
Menurut Peace Now, cadangan peruntukan besar itu kini dirujuk kepada Kabinet Keselamatan Israel yang dijangka bersidang dalam masa terdekat bagi membuat keputusan lanjut.
Di bawah pelan yang masih belum dimuktamadkan itu, kerja-kerja pembinaan, termasuk pembangunan infrastruktur dan bangunan awam, dijangka diteruskan walaupun proses perancangan belum lengkap mengikut prosedur undang-undang Israel.
Peace Now mendakwa langkah tersebut menunjukkan usaha kerajaan untuk memintas peraturan perancangan dan pembinaan.
Dalam kenyataannya, kumpulan itu menyifatkan pendekatan kerajaan Israel sebagai tidak mampan dan berisiko memburukkan konflik dengan Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Amnesty International menerbitkan laporan terbaru yang menuduh kerajaan Israel memainkan peranan penting dalam apa yang disifatkannya sebagai “pembersihan etnik” terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, sekurang-kurangnya 117 kampung Palestin telah mengalami pemindahan penduduk sebahagian atau sepenuhnya akibat serangan peneroka.
Amnesty turut mengecam penganjuran acara hartanah Israel yang dijadualkan berlangsung di London, yang mempromosikan penjualan hartanah di Tebing Barat.
Acara tersebut, yang sebelum ini turut diadakan di Amerika Syarikat dan Kanada, didakwa melanggar undang-undang antarabangsa kerana melibatkan penjualan hartanah di wilayah yang diduduki.
Nnnn
