RAMALLAH: Dunia perlu memulakan sekatan ke atas Israel kerana pencerobohan berterusan, penjajahan, pendudukan dan penolakannya terhadap keamanan, kata
Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh.
Beliau menegaskan, konsensus antarabangsa mengenai penubuhan negara Palestin perlu diterjemahkan menerusi langkah-langkah praktikal yang turut merangkumi ke arah menamatkan pendudukan.
Katanya, dunia juga harus berusaha untuk menamatkan pendudukan, mengiktiraf negara Palestin secara dua hala dan mengundi Palestin untuk menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Dasar jenayah pembunuhan Israel masih meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah di Semenanjung Gaza, malah bantuan yang diberikan sangat sedikit dan tidak memenuhi keperluan orang ramai.
Malah, penyakit kini mula merebak dan ribuan kes hepatitis dan penyakit lain sudah direkodkan, ketika musim sejuk berlaku serta ketiadaan tempat perlindungan yang sesuai,” katanya pada mesyuarat mingguan Kabinet Palestin di Ramallah semalam
Shtayyeh berkata, bekalan air dan elektrik masih terputus, rangkaian komunikasi terganggu dan akhbar antarabangsa masih dihalang daripada sampai ke Semenanjung Gaza, termasuk akhbar Palestin sendiri.
Kini jumlah mangsa, termasuk yang terbunuh, cedera, orang hilang dan tahanan sudah mencecah kira-kira 100,000 dengan 70 peratus daripadanya terdiri kanak-kanak, wanita dan orang tua.
“Sejumlah 18 tanah perkuburan digali di Semenanjung Gaza, di Tebing Barat pula Israel terus membunuh rakyat Palestin, terutama di kem dan di semua kawasan wilayah Palestin, di mana jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sejak awal tahun lalu mencecah kira-kira 523, termasuk 22 yang dibunuh oleh kumpulan penjajah itu,” katanya.
