PADA satu majlis di Cameron Highlands baru-baru ini, Presiden MIC, G.Palanivel berjaya mencuri perhatian ramai apabila memulakan ucapan dalam bahasa Mandarin. Ucapan itu mengejutkan lebih 200 pemimpin pertubu-han bukan kerajaan (NGO) yang hadir. Tutur katanya kemas dan lancar. Selepas 10 minit, beliau meneruskan ucapannya dalam bahasa kebangsaan. Kata Palanivel, beliau belajar bahasa Mandarin daripada seorang guru dari China selama tiga bulan.
‘‘Bukan senang nak belajar bahasa Mandarin, susah dan rumit tapi saya tidak putus asa. Kalau kita berusaha, semua pun boleh”, katanya.
Begitu juga tugas dalam politik, bukan mudah tetapi beliau tidak boleh menoleh ke belakang.
Cameron Highlands, salah satu kawasan Parlimen yang dimenangi MIC. Sejak kebelakangan ini, Palanivel banyak memberi tumpuan di sana. Kenapa? Inilah kawasan yang dikatakan hampir menjadi pilihan Palanivel untuk meneruskan perjuangan MIC sesuai dengan kedudukannya sebagai Presiden pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Selama ini, beliau tidak berterus terang mengenai kedudukannya kerana tumpuannya untuk mengukuhkan parti dan mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi-pengundi kepada MIC. Beliau tidak mahu parti itu berpecah menjelang saat-saat genting untuk menghadapi PRU.
Jelas sekali Palanivel masih berpegang kepada tulisannya di akhbar The Star pada 3 Ogos 1972 yang mahu kecenderungan berpuak-puak di dalam MIC dihentikan. Ketika berlaku krisis kepimpinan parti, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpinnya tentang tanggungjawab terhadap masyarakat India seluruhnya bukan kepada puak-puak tertentu. Parti juga menurut Palanivel tidak harus mengabaikan mereka yang berkalibar menyertai MIC serta mahu pendekatan segar dan asli. Begitulah penekanan Palanivel kira-kira 40 tahun lalu. Kini tanggungjawab itu terletak di atas bahunya yang menga-mbil alih jawatan Presiden daripada S.Samy Vellu pada 6 Disember 2010.
Memang agak sukar untuk membaca strategi politiknya. Beliau lebih berhati-hati ketika memberikan komen atau kenyataan. Pergerakan politiknya sukar dibaca. Pengalaman saya semasa membuat liputan Palanivel terutama bagi sesi wawancara, menunjukkan beliau cukup berhati-hati untuk mengeluarkan kenyataan, supaya tidak menimbulkan spekulasi di dalam parti. Beliau juga tidak mudah dipengaruhi dengan taktik provokasi kawan dan musuh politik.
Dalam wawancara dengan portal The Malaysian Times, beliau berkata: “Saya bukanlah seorang pemimpin yang suka mengejar publisti. Bagi saya misi untuk ma-syarakat dan masa depan parti amat penting. Anggota parti perlu berkerja keras untuk membela nasib masyarakat India dan bukan asyik membodek pemimpin. Saya ada cara tersendiri untuk mengurus dan memobilisasikan percaturan politik. Mungkin cara saya lebih tenang tetapi jangan sangka air yang tenang tidak ada buaya”.
Selepas MIC mengalami detik hitam pada PRU lalu, peranan Palanivel amat mencabar. Bukan beliau sahaja yang tewas tetapi Samy Vellu sebagai Presiden turut kecundang di kubu kuat BN di Sungai Siput. Sebagai Presiden yang baru dilantik, beliau tentunya bergelut dengan pelbagai rintangan politik. Bagaimanapun, jarang sekali beliau terjebak dengan provokasi untuk menjadikan MIC modal politik bagi menghentam parti dan kerajaan untuk meraih undi masyarakat India. Dalam tempoh terdekat ini, beliau mahu melaksanakan sebanyak mungkin program pembangunan untuk masyarakat India. Palanivel terpaksa memikul ‘bebanan’ yang ditinggalkan oleh bekas bosnya yang ‘menguasai’ MIC dan masyarakat India hampir 30 tahun. Inilah cabaran Palanivel bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai. Parti dominan masyarakat India itu berdepan dengan pelbagai cabaran yang kritikal untuk menentukan survival mereka selepas diserang habis-habisan pada PRU 2008.
Maka perkembangan politik MIC sentiasa menjadi perhatian sejak PRU lalu sama seperti parti komponen BN yang lain. Persoalannya apakah MIC sudah bersedia untuk berdepan dengan serangan psikologi tersebut menjelang PRU? Dalam tempoh empat tahun ini MIC sudah melalui pelbagai transformasi dan reformasi politik. Proses peralihan kuasa meletakkan MIC dalam keadaan yang lebih ‘rasional’ dan ‘berwibawa’ seiring dengan tuntutan politik semasa. MIC juga terpaksa bersaing dengan parti-parti politik India pro BN. Kemunculan lebih banyak parti politik kaum India selepas PRU 2008 turut memberikan saingan untuk MIC dari aspek ‘persepsi’ masyarakat untuk terus kekal relevan. Bagaimanapun adakah setelah tidak sampai dua tahun Palanivel memimpin MIC, parti itu tenang tanpa gelora? Dalam mana-mana parti politik, akan ada pihak atau kumpulan yang tidak senang melihat fenomena politik dalaman kembali tenang. MIC tidak terlepas daripada masalah ini. Ada pihak yang akan cuba ‘menyerang’ Palanivel menjelang PRU. Dalam menghadapi situasi ini, Palanivel sering kali menyarankan anggota MIC bangkit dengan semangat MIC untuk mempertahankan survival parti. Anggota parti disaran menjadikan perhitungan PRU akan datang sebagai amanah dan tanggungjawab yang penting bagi menentukan kebangkitan semula MIC dan BN.Seorang penganalisis politik, Anbumani Balan berkata, lebih daripada 600,000 anggota MIC mampu melakukan kebangkitan ini sekiranya mereka ‘bangun dengan semangat MIC’.
Persoalannya adakah menjelang PRU itu nanti, semuanya bangkit dengan semangat MIC? Setiap kali menjelang PRU, spekulasi calon menjadi tumpuan parti-parti politik. Begitu juga dengan MIC. Pelbagai spekulasi timbul termasuklah kedudukan Palanivel. Benarkah Palanivel tidak akan bertanding? Selama ini, Presiden MIC tidak pernah ‘melepaskan’ peluang untuk bertanding. Jika diselak kembali sejarah lampau MIC, orang No. 2 dan No. 3 MIC, iaitu timbalan presiden dan naib presiden pernah digugurkan sebagai calon. Sebagai Presiden, sewajarnya kedudukan itu melayakkan beliau bertanding kecualilah atas sebab tertentu seperti dilakukan Presiden Gerakan,
Dr. Koh Tsu Koon. Presiden mempunyai kuasa untuk memilih atau menggugurkan mana-mana calon. Beliau juga berhak memilih mana-mana kerusi yang difikirkan sesuai untuk bertanding. Sekali lagi jika diselak semula semasa MIC dipimpin Samy Vellu, beliaulah yang menentukan segala-galanya termasuk menyingkirkan pemimpin
berpotensi yang tidak sehaluan dengannya. Cuba selak kembali, berapa ramai pula wakil Pemuda dan Wanita yang diberi peluang? Situasi ini yang cuba diperbaiki Palanivel untuk mendengar pandangan semua peringkat termasuk Pemuda dan Wanita. Sebagai Presiden, beliau mempunyai pendekatan tersendiri untuk memilih dan membentuk barisan ‘calon boleh menang’ Mungkin akan ada kejutan.
Maka janganlah menjelang PRU nanti, ada mana-mana pihak yang cuba bermain api ataupun menggunakan tangan ghaib untuk menyerang pemimpin. PRU bukan medan untuk anggota parti memerangi sesama sendiri sebaliknya sama-sama berperang menentang musuh.
UMA151012010C001