Sandiwara apa sedang berlaku di Pulau Pinang?

SUDAH lama tidak menjenguk dan menyelak apa yang berlaku di Pulau Pinang. Kali terakhir Selak menyelak isu Pulau Mutiara itu ialah pada Jun lalu. Kali terakhir saya pulang ke Permatang Pauh ialah pada Hari Raya Aidilfitri ketiga yang lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang ketika ini timbul cadangan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk ditukarkan kepada Lapangan Terbang P.Ramlee. Ketika itu sempatlah singgah di Padang Kota Lama, menikmati pasembur atau orang luar panggil rojak. Pada 16 September lalu, di Dewan Bandaran berhampiran Padang Kota Lama, berlangsung pula persembahan boria yang digabungkan dengan audio visual menarik. Tahniah kepada sahabat saya Omar Hashim@Omara yang memimpin persembahan di depan bangunan warisan itu.

Syukurlah boria yang menggabungkan sketsa dan nyanyian masih wujud di Pulau Pinang. Tahniah juga kepada semua penggiat boria walaupun ramai yang berpenga-laman sudah tidak ada bersama. Dulu seingat saya, boria Sungai Pinang memang ‘meletup’. Pada masa yang sama ketika kita mempertahankan boria jangan pula dilupa nasib masa depan. Kita tidak mahu masa depan sekadar menjadi sketsa dan nya-nyian. Di atas pentas nampak menarik. Pan-tun seloka mencuit hati penonton. Cukupkah sekadar meriah di pentas dan orang bertepuk tangan tanda gembira? Itu boria, sekadar selingan kerana kebetulan Selak kali ini mahu ‘kembali’ ke Pulau Pinang.

Sejak kebelakangan ini, banyak isu politik yang menarik perhatian di Pulau Pinang. Tidak pasti adakah apa yang berlaku sama ada melibatkan parti pembangkang di negeri itu iaitu Barisan Nasional (BN) atau kerajaan negeri yang diterajui DAP dan PKR boleh dianggap sandiwara politik atau boria? Isu yang menarik perhatian tentulah berkaitan dengan Ketua Menteri, Guan Eng yang dilabelkan oleh Timbalannya Mansor Othman sebagai manusia angkuh, sombong dan tokong. Masing-masing kini sibuk ‘menepis’ kerana isu ini umpama mendedahkan ‘hubungan sebenar’ DAP-PKR di negeri itu. Paling mudah akan menuduh media cuba ‘twist-twist dan turn-turn’ (pusing) (meminjam kata-kata Guan Eng kepada TV3) isu rakaman percakapan Mansor pada Mesyuarat Strategik PKR Pulau Pinang yang dikatakan berlangsung pada April lalu.

Sudah menjadi lumrah, setiap kelemahan yang didedahkan melibatkan DAP, PKR, Pas, akan ada saja suara yang mengatakan semuanya permainan politik parti komponen BN. Inilah kaedah paling popular untuk ‘cuci tangan’, tidak bersedia menyatakan kebenaran. Berikutan ‘pergeseran’ itu, timbul pula cerita bahawa Mansor sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 akan digantikan dengan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kasim (PKR Batu Maung). Tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi kalau be-gitu tanggapan orang No.2 terhadap orang No.1 negeri, bagaimana mahu bekerja? Kalaulah keadaan ini diterbalikkan iaitu berlaku semasa BN yang memerintah diterajui Dr. Koh Tsu Koon dan Dr. Ibrahim Saad, maka sudah lama mereka didesak letak jawatan oleh musuh-musuh politik. Dalam politik apabila ‘tahi burung’ terkena di atas batang hidung sendiri, semuanya wangi. Bagi mereka ibarat kocakan air dalam cawan. Bagaimanapun, Mansor sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang masih bernasib baik (sehingga semalam). Beliau tidak diundurkan. Keadaan ini jauh berbeza dengan tindakan orang kampung penulis, Dr. Mo-hammad Fairus Khairuddin yang lebih berani mengambil risiko. Beliau mengalah selepas ‘tewas’ di gelanggang jawatan.

Baginya adalah lebih bermaruah berundur selepas ‘gagal’ menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan disebabkan faktor-faktor dalaman. Keadaan ini nampaknya tidak berlaku kepada Mansor yang dibawa terjun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohammad Fairus. Mujurlah BN tidak meletak calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) itu. Mansor dicabar oleh calon-calon Bebas. Mungkin penduduk Penanti tidak meratap jika Mansor berundur kecuali pengundi-pengundinya. Itu pun belum pasti sama ada mereka ini benar-benar menyokongnya atau sekadar syok keluar mengundi. Maklumlah, Permatang Pauh mencatat rekod PRK yang diadakan kerana peletakan jawatan wakil rakyat – pertama seorang isteri meletak jawatan untuk memberi laluan kepada suami, kedua Fairus yang mulanya meletak jawatan untuk belajar (kemudian mengkritik kerajaan negeri) dan ketiga berikutan kematian wakil rakyat Pas di DUN Permatang Pasir. Jika Mansor meletak jawatan sebagai wakil rakyat sekarang, tidak akan berlaku PRK kerana tempoh DUN Pulau Pinang akan berakhir tahun depan. Persoalannya adakah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, Mansor akan dicalonkan semula? Sama-sama kita nantikan episod ‘lakonan’ seterusnya.

Satu lagi isu yang menarik ialah soal tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang. Mengikut BN, tanah seluas 0.45 hektar milik kerajaan negeri itu pada mulanya mahu digunakan untuk membina rumah Fasa Kedua Projek Perumahan Rakyat (PPR) tetapi dijual kepada sebuah syarikat untuk dibangunkan dengan hotel 19 tingkat, enam tingkat hos-pital dan lima tingkat tempat letak kereta. Bagaimanapun selepas didesak pelbagai pihak, kerajaan negeri DAP menawarkan penjualan tanah itu kepada BN. Harganya RM22 juta. Tawaran itu disambut BN demi memenuhi tanggungjawab menyediakan ru-mah untuk rakyat. BN setuju membelinya. Bagaimanapun bukan mudah untuk membeli tanah milik kerajaan negeri itu yang juga dianggap BN sebagai tanah rakyat.

Selepas mahu membayar deposit RM222,073 secara tunai, BN terpaksa memasukkan wang itu ke dalam akaun kerajaan negeri. Satu lagi syarat ialah BN diberi tempoh 30 hari untuk melunaskan bakinya. Begitulah laluan yang akan ditempuh oleh BN untuk memastikan rumah rakyat menjadi kenyataan. Adakah dalam hal ini, kerajaan negeri DAP tidak boleh bertimbang rasa demi untuk rakyat? Jika DAP tidak berupaya membina rumah untuk rakyat, eloklah menerima peluang yang ditawarkan BN. Jual tanah akan membantu kerajaan negeri DAP dapat duit dan pada masa yang sama dapat rumah untuk rakyat. Eloklah dipermudahkan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat, sesuai dengan slogan negara berkebajikan. Biarlah apabila bercakap kita buat. Takkan semua isu nak berdolak dalik? Itu belum masuk soal gerai penjaja khususnya melibatkan orang Melayu di Pulau Pinang termasuk di Padang Kota. Memang benar, masalah penjaja Melayu ini bukan isu baru. Kalau tak percaya tanyalah Abdul Malik yang pernah aktif sebagai Ketua Pemuda UMNO Tanjong. Mungkin dulu isu ini tidaklah sehebat empat tahun kebelakangan ini. Entah kenapa. Mungkin dulu lain sekarang lain. Dulu BN kini DAP.

Akhirnya, mengenai nama lapangan terbang, sebelum ditukar kepada nama P. Ramlee, eloklah jenguk seketika ke Jalan P.Ramlee. Menyelak kembali sejarah menamakan jalan P.Ramlee ini, saya masih ingat bagaimana susahnya untuk menukarkan Jalan Counter Hall kepada nama seniman agung itu. Kini setelah usaha itu berjaya, apakah situasi di kawasan itu sekarang? Bagaimana pengurusan atau penjagaan kawasan sekitarnya? Banjir masih kerap berlaku. Seeloknya kawasan itu ‘dipulihkan’ dahulu supaya apabila orang mendarat di lapangan terbang (jika dinamakan dengan P.Ramlee) yang indah itu mereka tidak terkejut apabila berkunjung ke kawasan kelahiran P.Ramlee terutama ketika hujan.

UMA081012010C001

Related posts

Leave a Comment