Slogan, tema manifesto alat ‘pancing undi’ pilihan raya umum

DI SANA sini orang bercakap mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13. Semua pihak nampaknya sudah tidak sabar, lebihlebih lagi parti politik. Pasukan polis juga sudah bersedia. Pemimpin parti politik pula sering bercakap mengenai calon yang akan bertanding dan pembahagian kerusi. Ada juga wakil rakyat yang dimaklumkan tidak akan dicalon semula sudah menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Beberapa parti politik juga sudah menamakan calon pilihan. Tidak kurang juga wakil rakyat yang menyatakan hasrat untuk berundur. Semuanya menandakan PRU13 semakin hampir. Tetapi bila? Semuanya terletak kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Apa yang pasti PRU13 mesti diadakan sebelum 24 April 2013 kerana mandat rakyat pada PRU12 berakhir pada hari berkenaan.

Sama-samalah kita nantikan ilham Najib. Mungkin lupakan November kerana tempoh yang semakin singkat ditambah pula akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO hujung bulan depan sehingga awal Disember serta masih ramai yang berada di Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Mengadakan PRU13 lebih awal memungkinkan pakatan 3P  DAP, Pas, PKR yang menguasai Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Dulu, di Perak, mereka mendesak dibubarkan DUN setelah kehilangan kuasa kepada Barisan Nasional (BN).

Jika PRU13 peringkat Parlimen diadakan berasingan dengan DUN di empat negeri pakatan 3P, ia menyebabkan kos yang tinggi serta ‘pembaziran’ pelbagai aspek.

Mengenai PRU juga, satu perkara yang tidak harus dilupakan ialah manifesto serta jentera perang saraf parti. Pelbagai tema dan slogan manifesto dirangka untuk menarik perhatian pengundi. Apakah pakatan 3P akan mempunyai satu manifesto atau sebaliknya membawa haluan masingmasing mengikut kehendak parti? BN juga pernah mengadakan manifesto berasingan mengikut negeri tetapi matlamat asalnya tidak lari daripada manifesto di peringkat pusat.

Di peringkat nasional, BN pernah menggunakan Tradisi Membela Rakyat; Bersih Cekap Amanah; Keamanan Kestabilan Kemakmuran; Malaysia Bebas Sepadu Maju; Ke Arah Malaysia Cemerlang Gemilang Terbilang; Selamat Aman dan Makmur. Di peringkat negeri antaranya Bersama Membina Masa Depan dan Islam Hadhari Terengganu Bestari.

Bagi pakatan 3P, Buku Jingga dan Negara Berkebajikan sudah tentu menjadi bekal bersama tetapi bagaimana pula apabila berhadapan kelompok masingmasing? Contohnya, isu negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud sudah tentu menarik perhatian terutama penyokong setia Pas dan DAP. Apakah isu ini akan dimasukkan dalam manifesto bersama 3P kerana setakat ini, sokongan yang diberi ‘sekejap okey sekejap tidak’ kecuali DAP yang konsisten dengan prinsipnya. Mungkin Pas akan merangka dua manifesto  jika mendapat majorti dua pertiga Parlimen maka hudud akan dilaksanakan sementara satu lagi manifesto sekadar mewujudkan negara berkebajikan selari dengan iltizam baru Pas yang diumumkan oleh Presidennya Abdul Hadi Awang pada muktamar Pas yang lalu.

Menyelak kembali PRU lalu, sebelum ini Pas pernah menggunakan Membangun Bersama Islam dan Gagasan Negara Islam sebagai tema manifesto. Pada PRU lalu, Pas menggunakan tema Kerajaan Beramanah Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan sementara di Kedah bertemakan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. Pada PRU 2004, Pas bersama Keadilan membentangkan manifesto Bersama Malaysia BaruKesejahteraan Untuk Semua berbanding pada PRU 1999 bertemakan Ke Arah Malaysia Yang Adil. Di Kedah, pada 2004, parti itu menggunakan tema Progresif, Adil, Sejahtera. Semalam, di Terengganu, Pas melancarkan manifesto Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan.

DAP juga setiap kali PRU cukup kreatif dengan pelbagai slogan. Keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran yang bersih cukup popular. Turut digunakan slogan Enough is Enough, Try Five Years, Chief Minister with POWER dan sebagainya bagi menarik perhatian pengundi. Slogan itu jelas mengkritik kerajaan negeri ketika itu. DAP juga menggunakan watak Robocop. Lebih kreatif ialah penggunaan Change!, Tukar! Pada PRU 1990, DAP menggunakan peristiwa bersejarah iaitu gambar Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka! Berlatarkan Jalur Gemilang, Tunku seolaholah melaungkan tukar! atau change!.

Begitulah kreativiti parti politik. Mungkin kali ini lebih hebat dengan pelbagai teknik yang sudah tersedia. Namun apa yang diharapkan, berpolitik dan berkempenlah secara berhemah. Kenapa harus mencipta sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain atau menyakitkan hati dan menimbulkan kemarahan? Kempen PRU sepatutnya membentangkan apakah agenda yang akan dilakukan dalam tempoh jika mereka berkuasa.

Kadangkala, senarai janji manifesto memang menarik tetapi sejauh mana pula keupayaan untuk melaksanakannya? Adakah ia sekadar kata-kata tetapi tidak ada tindakan untuk merealisasikannya?

UMA171011012C001

Related posts

Leave a Comment