DI MANA sahaja rakyat Malaysia berada, semuanya mendapat faedah hasil pembentangan Bajet 2012 pada Jumaat lalu. Sedikit sebanyak mereka tetap merasainya. Sama ada di kota atau di desa, masingmasing mendapat habuan. Tanpa mengira profesion atau pekerjaan harian mereka buruh, peladang, penternak, nelayan, guru, kakitangan awam dan sebagainya mendapat manfaat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Pesara yang tidak bekerja juga mendapat nikmat. Malahan golongan gelandangan juga tidak dilupakan.
Memang benar kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Najib Tun Razak: ‘‘Ia (bajet 2012) tidak meninggalkan yang berpendapatan rendah, sekalipun menengah atau tinggi, dan tidak pula meminggir mereka yang di bandar waima di desa’’. Begitulah janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib. Maka tidak hairanlah ada yang ‘terkejut beruk’, ‘mati akal’ atau seperti ‘cacing kepanasan’ dengan bajet ini yang dianggap praktikal, realistik dan holistik.
Ada yang berkata, BN mencedok bajet pakatan 3P DAP, Pas, PKR. Bajet bayangan 3P dibentangkan tiga hari sebelum kerajaan membentangkannya Jumaat lalu. Jika 3P memperuntukkan RM220 bilion tetapi kerajaan menyediakan RM232.8 bilion. Peruntukan subsidi kerajaan pula berjumlah RM33.2 bilion tetapi 3P RM22 bilion. Itulah bezanya. Apa pun sebagai negara demokrasi, pembangkang boleh bercakap apa yang mereka suka mengenai bajet ini.
Tidak kurang juga yang berkata, Bajet 2012 sebagai bajet pilihan raya umum (PRU). Sama ada bajet PRU atau sebaliknya, apa yang pasti bajet itu sudah tentu melegakan kebanyakan rakyat walaupun masih ada ‘suara sumbang’ yang sinis.
Bajet 2012 boleh menjadi bajet PRU jika pilihan raya diadakan sebelum Oktober 2012. Ini kerana tarikh akhir pembubaran Parlimen ialah pada 24 April 2013. Jika PRU diadakan pada suku pertama 2013, maka tahun depan barulah ada bajet PRU. Tidak kisahlah sama ada ini bajet PRU atau tidak, apa yang penting, rakyat mendapat manfaat dan kerajaan mampu menunaikannya. Memang ia umpama gulagula tetapi bukannya ‘gulagula beracun’.
Rakyat tentunya lebih yakin dengan bajet kerajaan BN berbanding janji menjelang PRU Ke12 yang lalu oleh pembangkang. Janji BN bukanlan janji kosong seperti janji ‘saudagar mimpi’ atau ‘saudagar air liur’. Malahan Najib ketika menjawab dakwaan nakal pengkritik yang tidak yakin kerajaan dapat melaksanakannya berkata: Kalau tak ada duit takkan saya berani bentangkan semalam (Jumaat). Saya akan melakukan satu perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya bentang bajet yang tidak boleh dilaksanakan.
Biarlah 3P terus menjaja Buku Jingga ke sana ke mari. Biarkanlah mereka mengusung bajet 3P di merata tempat. Rakyat lebih tahu membezakan antara bajet yang berduit dengan bajet tidak berduit. Mereka dapat bezakan janji orang yang belum mempunyai kuasa sebaliknya kemaruk kuasa dengan orang yang sudah berkuasa. Bagi rakyat di negerinegeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, mereka boleh menilai sendiri sejauh mana janji PRU pada tahun 2008 telah ditunaikan oleh 3P ini.
BN yang sudah menerajui negara ini sejak merdeka, pastinya lebih arif dengan apa yang boleh dan tidak boleh dijanjikan. Janji seseorang yang berkuasa dan belum berkuasa memang ada bezanya. Sebelum berkuasa, mereka boleh janji apa sahaja malahan bulan, bintang dan matahari sematamata untuk menang. Apabila menang, mereka tidak mampu melakukannya, tidak ada keupayaan untuk menggapai bulan, bintang, apatah lagi matahari.
Tetapi lain pula janji orang yang sudah berkuasa. Ada yang boleh dijanjikan dan ada yang tidak. Ia mengikut kemampuan.
Maka tidak hairanlah walaupun Bajet 2012 meliputi semua lapisan masyarakat, masih ada suarasuara yang tidak berpuas hati. Ada saja yang tidak kena. Diberi satu hendak dua, diberi dua hendak tiga dan diberi tiga hendak empat dan seterusnya. Bak kata orang diberi betis hendak paha. Sikap negatif, tidak puas hati sentiasa ada dalam naluri manusia. Tidak dinafikan ada perkara atau bidang yang tidak disentuh dalam bajet ini tetapi tidak bermakna ia akan dilupakan begitu sahaja. Manusia tidak pernah sempurna.
Dalam sebuah keluarga, seorang bapa kadangkadang tidak dapat bersikap adil kepada anakanaknya. Ada anak yang nakal, bodoh dan hodoh apabila melakukan kesalahan disebat tetapi anak lain yang cerdik dan dimanjakan terlepas daripada hukuman. Ada bapa yang ketika di luar begitu tegas dan garang tetapi apabila di rumah menjadi seorang pemaaf atau pengecut.
Begitulah juga dalam bajet yang tidak mampu memuaskan hati semua orang. Namun seperti mukadimah Selak ini, semuanya akan menikmati faedah.
Contohnya pelbagai subsidi yang diberi. Walaupun ia telah lama diberikan oleh kerajaan tetapi eloklah bajet itu memperingatkan semula supaya kita bersyukur dengan apa yang telah diberikan. Subsidi kerajaan menyebabkan saban hari, setiap mulut rakyat negara ini ‘disuap’ oleh kerajaan.
Beberapa isu yang sempat didengar mengenai bajet dalam sehari dua ini ialah belanjawan defisit yang memaksa kerajaan terus meminjam. Isu peruntukan kepada perkara berkaitan hal ehwal Islam juga disentuh termasuk peruntukan kepada sekolah agama rakyat, peruntukan mengatasi masalah gejala sosial yang semakin meruncing serta isuisu keselamatan rakyat.
Begitu juga skim rumah pertama yang membenarkan pembeli membeli rumah pada harga maksimum RM400,000. Timbul kerisauan sama ada ia akan mengatasi masalah pemilikan rumah atau harga rumah akan melambung?
Begitu juga bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Adakah langkah ini akan menyebabkan harga barang tidak terkawal?
Di kalangan pemandu teksi, ada yang berkata, apalah sangat pemansuhan cukai jalan berbanding beban menanggung insurans. Kenapa tidak dihapuskan sistem syarikat dan diganti dengan permit persendirian? Walaupun sistem bas di luar bandar mendapat RM150 juta tetapi bagaimana pula sistem pengangkutan awam dalam bandar yang belum berkesan?
Ada juga yang risau dengan kehadiran kedai 1Malaysia kerana ia dilihat boleh mengancam kedai runcit. Namun kita percaya, apa yang boleh diperbaiki akan diperbaiki. Manamana ‘lubang’ yang boleh ditimbus akan ditimbus sebaik mungkin.
Harus diingat bahawa pemaju perumahan, peniaga runcit, pemandu teksi, penumpang bas dan pelbagai lagi adalah rakyat Malaysia. Maka setiap perkara atau tindakan yang terlibat dalam bajet ini memberi kesan kepada mereka.
Justeru berilah peluang kepada pihakpihak berkenaan untuk memperjelaskan isu yang timbul berhubung bajet ini. Jangan terlalu cepat mencari kesilapan dan kekurangan. Lebihlebih lagi pihak yang berkepentingan politik akan cuba menjadikan isi kandungan bajet ini sebagai modal mereka menjelang PRU Ke13 yang dikatakan semakin hampir.
UMA101011012C001