SEPANG 12 Feb. – Tujuh belas ketua bahagian Bersatu dan kepemimpinan parti itu di Johor mendesak supaya Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin dipecat daripada jawatan serta keanggotaannya dalam parti.
Desakan itu berkaitan dengan dasar salah laku kepemimpinan yang berat, pelanggaran perlembagaan parti secara sistematik, kegagalan moral dan hilangnya kelayakan Hamzah untuk terus memegang sebarang jawatan atau keanggotaan dalam Bersatu.
Menerusi kenyataan berbentuk memorandum bersama itu, desakan untuk pemecatan Hamzah bukan disebabkan sentimen politik namun melihat kepada aspek disiplin serta integriti kepimpinan pemimpin kanan itu.
“Kepercayaan terhadap Hamzah sudah runtuh sepenuhnya, khususnya berkaitan kegagalannya menyelesaikan kemelut dalaman Bersatu di Johor serta kegagalan memulihkan perpaduan di Perak.
Antara salah laku yang dilakukan ialah kegagalan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tidak mengawal penyokong yang melanggar perlembagaan parti, terbabit dalam insiden kekacauan semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 dan menjalankan rundingan dengan pihak luar tanpa mandat sah kepemimpinan tertinggi parti.
“Malah Hamzah sebagai Timbalan Presiden turut mendalangi gerakan menjatuhkan Presiden melalui kutipan Akuan Berkanun (SD) serta bersubahat dalam usaha menggagalkan PAT, termasuk tindakan yang mencemarkan nama baik Presiden,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Dr Sahruddin Jamal; Ketua Bahagian Bersatu Muar, Basut Nin; Mohd Radzi Amin (Bakri); Uzzair Ismail (Sembrong); Nor Samsu Yusof (Segamat); Syafiq Aziz (Ayer Hitam); Samsudin Ismail (Iskandar Puteri); Tosrin Jaruanthib (Kulai) dan Kamaruzzaman Abu (Tebrau).
Turut sama Ketua Bahagian Bersatu Batu Pahat, Syed Mohamad Syed Alwi; Aidil Ahmad (Tenggara); Talib Salim (Kluang); Halim Abu Bakar (Mersing); Rasman Ithnain (Kota Tinggi); Farid Razak (Pasir Gudang); Alawiyah Talib (Ketua Srikandi Negeri Johor) dan Alias Rasman (Ketua Armada Negeri Johor).
Pada masa sama, mereka juga mahu Lembaga Disiplin Bersatu menjalankan prosiding segera dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) melaksanakan kuasa perlembagaan untuk memecat Hamzah tanpa kompromi bagi mempertahankan perlembagaan, disiplin organisasi dan masa depan
“Memorandum ini dikemukakan sebagai satu tindakan mempertahankan perlembagaan parti, disiplin organisasi dan masa depan Bersatu. Pada tahap ini, pemecatan bukan lagi pilihan sebaliknya sebagai keperluan mutlak.
“Kegagalan bertindak akan ditafsirkan sebagai kegagalan mempertahankan parti dan pengkhianatan terhadap amanah perjuangan,” kata kenyataan itu.
Nnn
