Abang Jo KM Sarawak ke-7

PETRA JAYA 18 Dis. – Abang Johari Tun Openg malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ketujuh, selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat baharu untuk mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12.

Istiadat Angkat Sumpah Pengerusi GPS itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri, di sini.

Abang Johari, 71, yang lengkap berbaju Melayu hitam dan bersongkok mengangkat sumpah jawatan pada pukul 10.42 malam.

Beliau sebelum itu tiba di Astana Negeri pada pukul 10.04 malam diiringi isteri,  Juma’ani Tuanku Bujang.

Turut hadir ialah dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Setakat 8.45 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GPS memenangi 45 daripada 82 kerusi pada PRN12 Sarawak.

Abang Johari menang dengan majoriti 3,607 undi di kerusi DUN Gedong, meninggalkan jauh tiga pencabarnya.

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini hanya memperoleh 703 undi; Tomson Ango daripada Parti Bumi Kenyalang (157), manakala calon Amanah Kamal Bujang mendapat 94 undi.

Sebelum ini beliau merupakan ADUN Satok selama sembilan penggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak pertama, Tun Abang Openg.

Pada 13 Januari 2017, beliau yang lebih dikenali sebagai Abang Jo dilantik sebagai Ketua Menteri bagi menggantikan Allahyarham Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Abang Johari yang dilahirkan di Limbang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti United Kingdom.

Related posts

Leave a Comment