Siasatan SPRM secara bebas, tanpa rasa takut

PUTRAJAYA 12 Feb. – Semua siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaksanakan dengan tegas selaras peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti dan dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Justeru SPRM menyangkal dakwaan terdapat siasatan yang dijalankan suruhanjaya itu dipengaruhi kepentingan peribadi.

Menurut SPRM, sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa.

“Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas.

Sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, terdapat satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa yang mengandungi tohmahan dan dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi SPRM.

“SPRM ingin menegaskan bahawa suruhanjaya ini tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif serta membabitkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi adalah ditolak sama sekali,” katanya.

SPRM merujuk satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa yang mengandungi tohmahan dan dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi SPRM.

Media itu dalam laporannya mendakwa SPRM termasuk pegawai atasan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

SPRM dalam kenyataannya turut menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku adalah digesa untuk menyalurkan maklumat itu melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment