KUALA LUMPUR 12 Feb. – Isu dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, dalam sebuah syarikat, perlu ditangani tanpa layanan berbeza atau sikap ‘double standard’.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, juga mengulangi desakan supaya Azam meletak jawatan dan disiasat.
Ia susulan laporan agensi berita antarabangsa, Bloomberg yang mendakwa teraju SPRM itu memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, berdasarkan pemfailan korporat.
“Beliau (Azam) harus disiasat. Semalam, saya mendesak beliau meletak jawatan, dan saya rasa ramai pihak yang meminta beliau membuat perkara sama.
“Tolong berlaku adil kepada orang lain, jangan ada sikap ‘double standard’. Jika orang lain kena, boleh disiasat, boleh diambil tindakan dan boleh didakwa.
“Namun apabila datangnya tindakan yang boleh ada satu keraguan munasabah, beliau kata sudah jual (saham) pada Julai tahun lalu… maksudnya, sebelum ini tidak jadi masalahkah? Sudah ada dalam pegangan awak (Azam) saham berkenaan.
“Jadi, terlalu banyak perkara yang meragukan dan perlu dijawab secara tuntas oleh Azam Baki,” katanya.
Mas Ermieyati berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri prosiding saman pemula Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang didakwa ditandatangani tanpa dirujuk kepada Parlimen, di Mahkamah Tinggi, di
Turut hadir pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.
