SEPANG 21 Sept. – Tidak ada keperluan untuk Kerajaan Negeri Sembilan mengemukakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa, kata Menteri Besar Ismail Lasim.
Beliau mendakwa tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO kerajaannegeri tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar adalah satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, beliau tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa memberi nasihat berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
“Dengan itu, tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baharu kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dalam satu kenyataan malam tadi, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, memaklumkan Yang di-Pertuan Besar, Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan pembatalan itu dibuat selepas mendapati kesemua EXCO terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Dalam pada itu, Ismail berkata, secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Tambahnya, berdasarkan Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), kuasa kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurutnya, bagi mengelakkan sebarang kekhilafan tafsiran, implikasi perundangan berhubung perkara ini wajib diteliti secara harmoni dan menyeluruh.
“Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
“Had kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.
“Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini.
“Keterikatan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 adalah dengan nasihat Menteri Besar di mana kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan,” katanya.
Ismail, berkata ia wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1).
“Ini bermakna sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar,” katanya.
Nnn
