KUALA LUMPUR 21 Sept. – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hari ini membuat laporan polis berhubung proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baru-baru ini.
Setiausaha Agung Putra Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, siasatan perlu dibuat terhadap Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) berhubung keputusan menerima proklamasi berkenaan.
Katanya, Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra pada 19 September lalu berpendirian bahawa tindakan dan keputusan AMMK tersebut merupakan suatu percubaan mengganggu gugat Institusi Raja Negeri Sembilan.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi yang turut disertai Presiden Putra Dr Ibrahim Ali.
Menurut beliau siasatan perlu dibuat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
Antara kes yang pernah menggunakan Seksyen 121 Kanun Keseksaan adalah pencerobohan bersenjata atau pemberontakan terhadap kedaulatan negara seperti insiden Al-Ma’unah dan pencerobohan di Lahad Datu.
Putra berpendapat keputusan AMMK menyokong proklamasi penurunan takhta seorang Raja yang berdaulat di sisi undang-undang sebagai amat serius yang boleh mewujudkan suatu duluan atau ‘precedent’ yang menjejaskan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta perjalanan sistem perundangan negara.
“Keputusan tersebut turut menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan perundangan yang sewajarnya telah dibuat dan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri diperoleh sebelum keputusan berkenaan dipersetujui secara sebulat suara.
Putra juga melihat bahawa tindakan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan menghasut sebahagian masyarakat sehingga memudaratkan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Putra mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Unit Jenayah Terkelas, membuka kertas siasatan berhubung tindakan Menteri Besar dan AMMK Negeri Sembilan ketika itu di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan.
Putra juga meminta supaya semua AMMK yang terlibat dipanggil memberikan keterangan berhubung keputusan yang dibuat dalam mesyuarat termasuk asas perundangan, proses pertimbangan atau sekiranya terdapat campur tangan politik dalam pembuatan keputusan.
Nasrul Ali Hasan berkata, Putra juga menggesa hasil siasatan dikemukakan segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang negara.
Tegasnya, Putra tidak berhasrat untuk terlibat di dalam isu krisis adat, tetapi urusan adat juga mesti mengikut protokol undang-undang yang telus.
“Kedaulatan undang-undang dan kedudukan Raja-Raja Melayu ada di dalam asas perlembagaan serta prinsip Rukun Negara, maka ia hendaklah sentiasa dihormati, dipelihara oleh semua pihak, dan diurus mengikut keluhuran undang-undang secara cermat, telus dan teliti,” katanya.
Nnnn
