KOTA KINABALU 13 Nov. – Empat lagi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diumumkan hari ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRN) ke-17, melengkapkan senarai penuh 55 calon gabungan berkenaan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Hajiji Noor, berkata calon berkenaan ialah Prof Madya Dr Bonaventure Boniface bagi kerusi Tamparuli, Rafie Robert Tawik (Bingkor), Samsiah Usman (Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik).
“Semua calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka mempunyai kemampuan untuk memenangi pilihan raya ini,” katanya pada Majlis Penutupan Hari Sukan dan Sambutan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tuaran di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Semalam, beliau mengumumkan 51 calon mewakili gabungan itu pada PRN Sabah, terdiri gabungan pemimpin berpengalaman dan calon muda, dengan 35 peratus adalah muka baharu.
GRS dibentuk oleh enam parti komponen, iaitu Gagasan Rakyat yang diterajui Hajiji selaku presiden, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Parti Cinta Sabah (PCS).
Boniface adalah bekas pensyarah kanan dipertaruhkan di DUN Tamparuli bagi menggantikan penyandang kerusi, Datuk Jahid Jahim yang menang pada PRN lalu dengan 6,843 undi. Jahid yang juga Timbalan Presiden PBS antara menteri Kabinet Sabah yang tidak dicalonkan semula.
Samsiah pula adalah Ketua Bahagian Kukusan PHRS diberi kepercayaan merampas kerusi Kukusan disandang Rina Jainal yang menang atas tiket Parti Warisan (Warisan) pada PRN16, dengan 2,834 undi.
Semalam, PHRS menggantung keahlian dan jawatan Timbalan Presiden yang disandang Rina, berkuat kuasa serta-merta.
Rafie Robert Tawik pula Setiausaha Pemuda GRS Pusat, manakala Hassan akan mempertahankan kerusi Sebatik yang dimenanginya pada PRN lalu.
