KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat yang dimenanginya atas tiket UMNO pada pilihan raya lalu.
Shahelmey sudah diberi laluan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) , namun bekas Timbalan Ketua Menteri itu tidak memberikan jawapan.
Sebelum ini, Shahelmey berteka-teki sama ada mahu bertanding atas tiket GRS bagi kerusi yang disandangnya sejak 2020 selepas UMNO enggan menamakannya berikutan penggantungan keahlian, selain didakwa mengkhianati parti.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum ini memberi amaran bahawa dua Ahli Parlimen UMNO di Sabah bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta jika mereka bertanding atas tiket GRS.
Selain Shahelmey, seorang lagi adalah Ahli Parlimen Kalabakan Andi Muhammad Suryady Bandy yang sebelum ini Pembantu Menteri Interim Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, penyandang kerusi DUN Tanjung Batu.
Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023 selepas menentang keputusan UMNO Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS yang mencetuskan kemelut politik dinamakan Langkah Kinabalu pada Januari 2023.
Dr Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa kedua-dua wakil rakyat terbabit tertakluk kepada bon perjanjian yang ditandatangani bersama parti sebelum mereka menerima watikah calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Mereka juga perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana ia dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN).
Susulan itu, Shah Alfie Yahya, 38, diberi peluang untuk menggalas misi GRS memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat.
Shah Alfie yang juga Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Tanjung Keramat menggariskan tiga misi utama iaitu usaha memperkasa golongan belia, memantapkan ekonomi setempat dan membudayakan keusahawanan.
Sebagai anak jati Tanjung Keramat, Shah Alfie berkata, beliau amat memahami keperluan penduduk, terutama golongan muda yang merangkumi kira-kira 60 peratus daripada jumlah pengundi.
Shah Alfie, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), berkata latar belakangnya dalam bidang perakaunan dan keusahawanan akan digunakan sepenuhnya untuk menjayakan misi berkenaan.
“Pengalaman saya sebagai Ahli Majlis Daerah Putatan, ditambah dengan peranan sebagai Pegawai Khas di Parlimen Putatan selama tiga tahun, memberi pendedahan mendalam mengenai struktur pentadbiran dan keperluan geopolitik serta ekonomi di daerah Putatan, khususnya Tanjung Keramat,” katanya.
Shah Alfie bakal berdepan Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamad yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Tanjung Keramat.
UMNO berhasrat untuk merampas kerusi yang dimenangi sebelum ini tetapi Shahelmey ‘membawanya’ untuk bekerjasama dengan GRS setelah UMNO Sabah memutuskan kerjasama dengan gabungan itu dan hilang kepercayaan terhadap Hajiji sejak Januari 2023.
Nnn
