PUTRAJAYA 20 Sept. – Setakat pukul 8 pagi ini, sebanyak 21 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), tiga kawasan di Sarawak mencatatkan IPU tertinggi iaitu di IPD Serian (182), Samarahan (168) dan Sri Aman (164).
Di Johor, dua kawasan merekodkan IPU tidak sihat iaitu Larkin (162) dan Pasir Gudang (155) manakala Putrajaya, Nilai, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor mencatatkan bacaan IPU 154.
Di Selangor, dua kawasan di Shah Alam (153) dan Johan Setia (127) mencatat bacaan IPU tidak sihat manakala di Kuala Lumpur, Cheras menjadi satu-satuya kawasan merekodkan bacaan IPU 133.
Sementara itu, sebanyak 41 kawasan merekodkan IPU pada tahap sederhana termasuk Batu Muda, Kuala Lumpur (99), Miri Sarawak (99) dan Politeknik, Kota Kinabalu (98).
Lima kawasan pula mencatatkan IPU berada di tahap baik antaranya Tanah Merah, Kelantan(47), Sungai Petani, Kedah (41) dan Alor Setar, Kedah (35).
Untuk rekod, bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).
