PM jumpa Loke dalam masa terdekat

SHAH ALAM 20 Sept. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan dengan Anthony Loke Siew Fook, dalam masa terdekat susulan keputusan Setiausaha Agung DAP itu untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.

Anwar berkata, pertemuan berkenaan akan diadakan sebaik sahaja Loke selesai menjalankan urusannya di Shanghai.

“Hari esok kalau saya tidak salah beliau akan ke Shanghai. Saya pula akan ke sana pada Selasa selepas perbincangan dengan Premier China, Li Qiang,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis Bersama di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini hari ini.

Sebelum ini, Loke mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan Najib, 73, mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk syarat ditetapkan termasuk membayar denda RM50 juta.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat ke-64 Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

Anwar berkata, setakat ini beliau belum menerima surat peletakan jawatan daripada Loke kerana perkara berkenaan baru dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, semalam.

“Belum (terima lagi kerana), beliau baru berbincang dalam mesyuarat semalam. Beliau sudah memaklumkan pada saya.

“Beliau kata akan bawa surat dan berbincang dengan saya. Saya kata tidak apa, bila ada ruang yang sesuai (barulah boleh berbincang).

Mengulas sama ada rombakan Kabinet akan dilakukan susulan perkembangan berkenaan, Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian secara berperingkat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment