SYDNEY – Langkah Australia memperkenalkan sekatan dan kawalan terhadap penggunaan media sosial disifatkan sebagai “bertaraf dunia”, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Menurut Albanese, pandangan itu dibuat Pengerusi Eksekutif Apple, Tim Cook selepas mengadakan pertemuan dengan beliau di ibu pejabat syarikat teknologi itu di Amerika Syarikat.
Katanya, Cook meluangkan masa yang panjang untuk berbincang mengenai pelbagai isu, termasuk usaha Australia meningkatkan keselamatan pengguna dalam talian.
“Tim Cook melihat usaha yang telah kami laksanakan berkaitan media sosial sebagai bertaraf dunia,” kata Albanese ketika berucap dari Apple Park di California, yang disiarkan di Australia.
Australia bulan ini mengambil langkah seterusnya dalam agenda keselamatan digitalnya dengan mengemukakan pelan bagi membolehkan pengguna media sosial memilih sendiri kandungan yang ingin dipaparkan dalam suapan mereka.
Disember tahun lalu, Australia menjadi negara pertama yang mengharamkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.
Sejak itu, beberapa kerajaan lain turut mengambil langkah serupa. Suruhanjaya Eropah antara yang terbaharu mencadangkan larangan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.
Sementara itu, jurucakap Apple merujuk kepada hantaran Cook di platform X yang menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Australia itu kerana berpeluang berkongsi beberapa inovasi terbaharu syarikat berkenaan.
Menurut Cook, inovasi tersebut termasuk ciri kawalan yang lebih kukuh dan mudah digunakan bagi membantu memastikan keselamatan kanak-kanak ketika berada dalam talian.
Nnnn
