Najib zahir penghargaan, tersentuh sokongan

SEPANG 20 Sept . –  Najib Razak tidak mahu sesiapa pun, sama ada parti, ahli, penyokongnya serta orang ramai berasa terbeban atau terikat dengan kewajipan terhadap beliau, termasuk bantuan kewangan bagi pembayaran denda RM50 juta sebagai syarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

Firma guaman, Tetuan Shafee & Co yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, memaklumkan Najib amat tersentuh dengan limpahan sokongan yang diterima sejak pengumuman keputusan Lembaga Pengampunan itu dikeluarkan pada Jumaat lalu.

Bekas Presiden UMNO itu turut menzahirkan penghargaan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja untuk beliau.

“Anak guam kami turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau,” katanya

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO.

Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan BN serta kepemimpinan dan ahli parti di semua peringkat, yang sentiasa berdiri teguh bersama beliau.

Penghargaan sama turut dirakamkan kepada rakyat Malaysia yang tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan.

Najib menurut kenyataan itu merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.

“Tidak kira parti, ahli dan penyokongnya, mahu pun orang ramai,” menurut firma berkenaan. Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka, yang atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.

“Keikhlasan mereka adalah sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, Najib menerima keputusan Sultan Ibrahim dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment