KUALA LLUMPUR10 Julai – Putra menyokong saranan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika ia bertujuan membongkar siapa atau individu mana yang dikatakan campur tangan dalam urusan pelantikan hakim termasuk Ketua Hakim Negara.
Presiden Putra, Ibrahim Ali berkata, Putra memberi sokongan tanpa syarat jika melalui RCI akan terdedah kebenaran mengenai dakwaan campur tangan oleh pihak-pihak tertentu apabila semua pihak dipanggil atau disapina untuk soal siasat.
“Apabila semua pihak dipanggil untuk disoal siasat, ramai pihak akan memberi keterangan termasuk Perdana Menteri dan akan terdedahlah kebenaran mengenai dakwaan campur tangan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ibrahim berkata, Putra pada sepanjang masa komited dengan apa jua isu demi kebenaran dan keadilan.
Beliau mengulas kenyataan sembilan anggota Parlimen PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim.
Putra menyifatkan cadangan penubuhan RCI oleh Rafizi bersama rakan-rakannya sebagai serkap yang ada tujuan dan matlamatnya di samping bekas Menteri Ekonomi itu ingin mempamerkan beliau prihatin dengan isu-isu rakyat.
Justeru kenyataan Rafizi bukan satu kejutan malahan sidang media pada hari berkenaan tidaklah ‘hebat’ seperti yang dijangkakan.
Menurut Ibrahim banyak sudah RCI di tubuhkan sebelum ini tetapi hasilnya tidak ke mana manakala tidak sedikit wang rakyat terpaksa dibelanjakan bagi membayar segala bentuk elaun dan sebagainya kepada anggota RCI.
“.Kalau syor yang dibuat oleh RCI diambil tindakan atau dilaksanakan, mungkin berbaloi dan ada faedahnya,” katanya.
