SEPANG 10 Julai – Dr. Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin berpengaruh yang membentuk Malaysia sehingga menjadi negara moden, berjaya dan terhubung dengan dunia seperti yang dikenali hari ini.
Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, di peringkat ASEAN Dr Mahathir memperjuangkan kesatuan serantau, dengan keyakinan bahawa hanya kekal bersatu, kemerdekaan yang dicapai dengan sukar dapat dipertahankan.
Dalam ucapan sempena ulang tahun kelahiran ke-100 negarawan ulung itu, Hsien Loong turut mengiktiraf sumbangan bekas Perdana Menteri itu di peringkat serantau khususnya dalam memperkukuh perpaduan ASEAN.
Hsien Loong berkata, sumbangan Dr. Mahathir dalam perkhidmatan awam telah memberikan impak besar bukan sahaja kepada Malaysia, malah kepada rantau ini.
Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada isteri Dr. Mahathir, Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-99 tidak lama lagi atas peranannya dalam memperjuangkan pelbagai isu sosial dan kesihatan rakyat.
“Dr. Siti Hasmah telah memainkan peranan penting dalam bidang penjagaan kesihatan ibu dan anak, serta memperjuangkan celik huruf di Malaysia. Sumbangan beliau tidak wajar dilupakan,” katanya.
Hsien Loong turut mengenang hubungan erat antara Singapura dan Malaysia yang telah lama terjalin meskipun berdepan perbezaan dari semasa ke semasa.
“Singapura dan Malaysia telah lama berkongsi hubungan yang mendalam dan pelbagai. Walaupun tidak sentiasa sependapat dalam semua isu, kita tetap bekerjasama untuk mencari titik persamaan.
“Saya dan pendahulu saya amat menghargai peluang bekerjasama dengan Dr. Mahathir dan kami telah mencapai kemajuan dalam banyak perkara semasa pentadbiran masing-masing.
“Selamat Hari Lahir kepada Tun dan Dr. Siti Hasmah. Semoga terus dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama keluarga tercinta,” katanya.
Foto FB LHL Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah pernah menjadi tetamu khas semasa Sambutan Hari Kebangsaan Singapura 2019.
