SEPANG 26 Ogos – Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail mendapat restu parti itu.
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata ketetapan itu dibincangkan Biro Politik, dipengerusikan Presiden, Muhyiddin Yassin yang antara lain menyokong tindakan kedua-dua ADUN itu.
Menerusi kenyataannya, beliau memaklumkan, ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaluddin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menyatakan hasrat itu kepada kepemimpinan dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
“Bersatu mengambil maklum tindakan Jasri dan Mohd Yazid menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy.
Tindakan ini dibuat melalui pemeteraian perjanjian persefahaman ditandatangani Wan Rosdy dan kedua-dua ADUN terbabit.
Keputusan ini dibuat untuk menjamin kestabilan politik di Pahang dan memastikan kebajikan rakyat di dua DUN berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri,” katanya
Jasri dan Mohd Yazid sebelum ini menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Wan Rosdy hingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Pahang ke-16.
Dalam kenyataan bersama, Jasri dan Mohd Yazid berkata, pendirian itu dipersetujui pucuk pimpinan Bersatu demi menjamin kestabilan politik di Pahang dan memelihara kebajikan rakyat di dua kawasan berkenaan.
Mereka berkata, muafakat bersama Menteri Besar itu memberi keyakinan fokus kerajaan negeri akan terus ditumpukan kepada pembangunan dan kesejahteraan penduduk di DUN Kuala Sentul dan DUN Lepar.
“Kami percaya bahawa dalam keadaan politik yang dinamik, kepentingan rakyat, kestabilan negeri dan kelangsungan pentadbiran yang baik hendaklah sentiasa menjadi keutamaan,” kata mereka.
