WASHINGTON – Rumah Putih membayangkan pembatalan sehingga 200,000 visa, warga asing yang menggunakan visa pelancong atau perniagaan untuk memohon suaka bagi menetap lebih lama di negara itu.
Menurut Jabatan Negara AS hari ini, langkah tegas itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, untuk memperketat kemasukan imigran ke negara itu.
Jabatan Negara AS kini bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk mengesan warga asing yang masuk menggunakan visa pelawat sementara, tetapi kemudian memohon suaka untuk menetap secara kekal.
Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott, menyalahgunakan visa pelawat untuk memohon suaka adalah satu bentuk penipuan dan membolehkan visa berkenaan dibatalkan serta-merta.
Kira-kira 175,000 warga asing sudah dibatalkan visa AS mereka sejak Trump kembali memegang tampuk kuasa pada Januari 2025.
Pembatalan itu atas pelbagai alasan merangkumi kesalahan jenayah, termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehinggalah memuji pembunuhan aktivis haluan kanan, Charlie Kirk.
Trump yang memenangi pilihan raya semula sebahagian besarnya atas janji untuk menentang migrasi haram, telah mengusir sejumlah besar individu yang berada di negara itu tanpa dokumen kediaman yang sah.
Selain menyasar pendatang haram, pentadbiran Trump turut mengetatkan syarat bagi warga asing yang mengikut saluran sah, termasuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tinggal melebihi tempoh visa.
Nnn
