PUTRAJAYA 12 Jun – Lori tipper membawa batu kerikil yang memasuki lorong arah bertentangan dikenal pasti sebagai punca nahas dengan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu.
Menurut Laporan Awal Pasukan Petugas Khas berhubung kemalangan itu, lori tipper berkenaan memasuki laluan yang sedang dilalui konvoi FRU sebelum bertembung dan ini dibuktikan dengan kesan brek, tayar dan geseran di lokasi kejadian.
Akibat perlanggaran itu, kedua-dua lori terbalik ke sisi kiri masing-masing dan berada pada kedudukan akhir dalam keadaan mengiring.
Di kawasan berhampiran simpang jalan, satu pasangan kesan brek (dual skid marks) sepanjang 4.1 meter telah dijumpai memasuki laluan bertentangan (lorong membelok).
Jarak antara titik tengah kedua-dua kesan brek itu adalah 32 sentimeter (cm), selari dengan jarak antara titik tengah pasangan tayar belakang lori tipper.
Maka, adalah sangat berkemungkinan kesan brek ini dihasilkan lori tipper. Kesan brek ini menunjukkan, lori itu telah memasuki laluan membelok dari arah bertentangan ketika menghampiri kawasan simpang.
kata laporan setebal 146 muka surat yang diterbitkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), hari ini.
Laporan setebal 146 muka surat yang diterbitkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), hari ini juga mendedahkan, tiada bukti menunjukkan sebarang kegagalan mekanikal yang menyumbang secara langsung kepada kemalangan terbabit.
Pemeriksaan pasca-kemalangan dari JPJ dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesan tanda pemanasan melampau pada brek dram kenderaan berkemungkinan besar berpunca daripada penggunaan brek secara berlebihan semasa kejadian.
Menurut laporan itu, secara keseluruhan, berdasarkan pemeriksaan teknikal semua sistem mekanikal utama lori seperti brek, tayar, stereng dan suspensi didapati berada dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan.
Justeru, tiada bukti menunjukkan sebarang kegagalan fungsi sistem stereng seperti yang didakwa pemandu pada awalnya.
Laporan itu juga menyebut, rekod Puspakom menunjukkan, lori tipper (AKL4674) lulus pemeriksaan kebolehjalanan (roadworthiness inspection) pada 21 Mac 2025.
Bagaimanapun sebelum itu, kenderaan terbabit gagal dalam dua pemeriksaan pada 20 September 2024, masing-masing semasa pemeriksaan Berkala dan Berkala Semula.
Kegagalan ini disebabkan kecekapan brek keseluruhan yang tidak mencapai piawaian minimum serta ketidakseimbangan brek (brake imbalance).
Kenderaan ini kemudiannya lulus pemeriksaan Berkala Semula pada hari sama selepas tindakan pembetulan diambil, dengan kecekapan brek meningkat kepada 62 peratus.
Laporan itu juga memaklumkan, tiada rekod pemeriksaan kebolehjalanan Puspakom bagi lori FRU (WKP3705), memandangkan kenderaan milik kerajaan tidak tertakluk kepada keperluan ini.
Nnnn