UMNO tegas tangguh RUU PSB 2025

UMNO tegas tangguh RUU PSB

KUALA LUMPUR 3 Okt.  – UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pembentangan RUU itu perlu ditangguhkan sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Katanya, pendirian itu selaras dengan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar hari ini yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, pemaju dan orang perseorangan pelbagai kaum.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini yang turut membincangkan isu itu.

Menurut Asyraf, UMNO juga melantik Naib Presiden, Johari Abdul Ghani untuk mewakili UMNO bagi melakukan perundingan dan membawa pendirian UMNO bagi merombak dan menambah baik RUU itu demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat marhaen terpelihara.

Terdahulu, bercakap pada sidang media selepas konvensyen itu, Johari berkata,
UMNO akan meminta RUU PSB 2025 yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.

Johari berkata ini bagi membolehkan RUU berkenaan ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif, selain mengambil kira pandangan dan kritikan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, UMNO tidak menolak konsep pembangunan semula bandar, namun proses berkenaan perlu dibuat secara tersusun dan terancang tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.

“Ya, UMNO akan minta RUU PSB 2025 dirujuk ke jawatankuasa khas Parlimen (sebelum diluluskan di Dewan Rakyat). Kita sudah memperoleh pelbagai dapatan susulan penganjuran Konvensyen PSB.

Dapatan ini akan dibincang bersama Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk meneliti bagaimana kita boleh mengolah pandangan masyarakat.

“Sebagai wakil rakyat blok kerajaan, kita tak boleh bergaduh sesama sendiri dan saya pun seorang menteri. Justeru, kita akan bawa RUU ini dan berbincang dengan Ahmad Zahid. Beliau akhirnya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Johari yang juga Ketua Pasukan Khas UMNO bagi Penambahbaikan RUU PSB 2025 berkata keputusan merujuk RUU PSB 2025 ke jawatankuasa khas dibuat selepas mengambil kira cadangan akta itu membabitkan kepentingan banyak pihak, merangkumi pemilik, penyewa, penduduk dan pelbagai pihak berkepentingan lain.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, keadaan itu antara lain menyebabkan timbul pelbagai keresahan dan kritikan dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, ada dalam 91 kawasan di Kuala Lumpur dan kalau ini (pembangunan semula) berlaku serentak, di mana kita mahu cari rumah sewa?

“Jika penduduk terpaksa dipindahkan jauh dari tenpat kerja, kadar sewa RM1,200 sebulan yang sering diberikan pemaju mungkin tidak relevan kerana ia membabitkan kos tambahan sementara menunggu rumah baharu siap.

“Antara kos tambahan ialah perbelanjaan untuk perjalanan ke tempat kerja yang lebih jauh, anak bersekolah mungkin memerlukan bas sekolah dan sebagainya.
“Inilah beberapa perkara menyebabkan ramai risau mengenai RUU PSB 2025,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment