Berii ruang kepada Lembaga Disiplin Bersatu
KUALA LUMPUR 3 Okt. – Semua ahli Bersatu diingatkan supaya tidak membiarkan cabaran dalaman mengalih perhatian daripada matlamat memperkukuhkan parti serta Perikatan Nasional (PN) dan membela kepentingan rakyat.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, beliau amat memahami keresahan dan kegusaran yang sedang dirasai oleh ahli-ahli Bersatu berhubung dengan cabaran yang sedang dihadapi.
“Saat inilah kita diuji dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau mahu semua ahli parti itu memberi ruang dan kepercayaan kepada proses siasatan Lembaga Disiplin berhubung kemelut dalaman parti, supaya ia berjalan baik tanpa sebarang gangguan.
Muhyiddin menegaskan Lembaga Disiplin parti diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti.
Kenyataan itu susulan pelbagai pendedahan dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada sidang akhbar minggu lalu.
Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu mendedahkan maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali di Sandakan, pada 2019 sebagai tulen.
Wan Saiful mendakwa Mohamed Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video itu tidak diselesaikan.
Beliau turut mendakwa akuan bersumpah (SD) yang dikumpul membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu, sebaliknya hanya untuk menyokong ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menyusun pelan peralihan parti.
Nnn
