Tol percuma dua bulan WCE Taiping ke Bruas

TAIPING 11 Mac –  Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) dari Taiping ke Beruas boleh digunakan secara percuma selama dua bulan bermula tengah malam ini sehingga 11 Mei depan, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.

Beliau mengumumkan bahawa tol percuma bersempena Ramadan dan Aidilfitri diberikan kepada pengguna yang memasuki lebuh raya itu dari Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas di kedua-dua arah.

Katanya, Seksyen 11 itu melengkapkan keseluruhan bahagian WCE di Perak yang membabitkan empat pakej jajaran iaitu Seksyen 8, 9, 10 dan 11.

”Terima kasih kepada pihak konsesi dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kerana bersetuju supaya tol diberi secara percuma selama dua bulan di laluan yang difahamkan menelan belanja sebanyak RM422 juta ini.

“Pembukaan ini tepat pada masanya memandangkan kita akan menyambut bulan Ramadan esok dan Aidilfitri tidak lama lagi, tentunya laluan ini memberikan alternatif yang dinanti-nantikan. Kadar tol yang dikenakan selepas ini ialah 16 sen bagi satu kilometer,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan laluan itu di sini hari ini.

Laluan WCE Seksyen 11 yang dibuka hari ini membabitkan jajaran 35.5 kilometer (km) dengan kos RM422 juta menghubungkan pengguna dengan Lebuh Raya Utara Selatan di Plaza Tol Changkat Jering ke Beruas.

Laluan itu dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas kepada 20 minit berbanding 55 minit dengan laluan sedia ada.

WCE sepanjang 233km dari Banting, Selangor ke Taiping mula dibina pada 2014 menelan kos lebih RM5 bilion dengan RM1.9 bilion kos bagi pembinaan jajaran di Perak, manakala RM3.1 bilion jajaran di Selangor.

WCE diharapkan menjadi pilihan laluan alternatif kepada laluan sedia ada dari Lembah Klang ke utara terutamanya bagi penduduk Pesisiran Pantai Barat Semenanjung Malaysia serta ke Pantai Barat dan Utara Semenanjung.

Beliau turut menyarankan rangkaian logistik bagi kenderaan berat supaya menjadikan laluan itu sebagai pilihan terutama yang menghala ke Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang bagi mengelakkan laluan mendaki atau berbukit, di samping mengoptimumkan kos operasi serta dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, beliau memaklumkan perjanjian konsesi Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar sejauh 60 kilometer dijangka ditandatangani seawal pertengahan tahun ini.

Laluan itu adalah sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)

Kata, draf awal perjanjian dan lain-lain hal yang berkaitan konsesi lebuh raya itu kini masih pada peringkat penelitian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaya Raya Hasnol Zam Zam Ahmad untuk memastikan perjanjian itu ditandatangani pada pertengahan tahun ini untuk memastikan projek berjalan.

“Jika tahun ini kita tandatangani perjanjian, sudah semestinya kita minta ia (pembinaan WISE) dipercepatkan memandangkan banyak kerja lain juga perlu dibuat,” katanya.

Pada 14 Disember tahun lalu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad memaklumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan WISE selepas beliau dimaklumkan ia dipersetujui mesyuarat Kabinet dua hari sebelumnya, dengan projek dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Lebuh raya WISE sepanjang 60 kilometer diunjur, bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, seterusnya Kuala Kangsar.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment