PUTRAJAYA 12 Jun – Lori membawa batu kerikil yang terbabit dalam nahas membabitkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, pada 13 Mei lalu, disahkan membawa muatan 70.67 peratus melebihi had dibenarkan.
Menurut laporan awal nahas yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan hari ini, Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan 24,000kg tetapi ketika nahas lori terbabit membawa muatan dengan kapasiti BDM 40,960 kilogram (kg).
Ini bermakna, BDM lori terbabit melebihi had yang dibenarkan sekali gus menyalahi Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah 89 Kenderaan Bermotor.
Laporan itu menyebut, pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya, sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000kg pada kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kilojoule (kJ).
“Lori BDM 40,960kg pada kelajuan sama turut menghasilkan 1,422 kJ iaitu hampir dua kali ganda. Berat dan kelajuan lebih tinggi meningkatkan impak kemalangan serta risiko kecederaan serius,” kata laporan itu.
Nahas pada pukul 8.50 pagi 13 Mei lalu, melibatkan trak FRU yang membawa 18 anggota daripada Unit 5 Sungai Senam p dengan sebuah lori membawa batu.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, selain sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.
Mengenai analisis kinematik dan kelajuan lori, laporan itu berkata, formula diaplikasikan secara iteratif, bermula fasa berhenti (kelajuan sifar) ke belakang sehingga ke titik kesan brek pertama.
“Pekali geseran ditetapkan mengikut jenis interaksi iaitu 0.7 hingga 0.8 bagi tayar mengunci, manakala 0.35 hingga 0.65 bagi geseran logam-jalan atau tanah dan segmen bergolek (0.01).
“Melalui pengiraan ke belakang ini, kelajuan minimum lori sejurus sebelum kesan brek pertama dianggarkan antara 63 km/j hingga 70 km/j,” katanya.