Batal atau isytihar cuti ‘sambut’ Trump

KUALA LUMPUR 3 Okt.  – Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum jika kekal dengan pendirian menjemput Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Pemangku Ketua Wira, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, mengisytiharkan cuti akan membolehkan rakyat dapat turun ke jalan raya berhimpun, melawan simbol penindasan ini secara terbuka dan lantang.

“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan politik atau diplomasi. Dua pilihan sahaja yang ada, batalkan jemputan Trump — biar dunia tahu Malaysia menolak sekeras-kerasnya tangan Amerika yang bersubahat dengan Israel.

Jika beliau tetap menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, isytiharkan cuti umum agar rakyat dapat turun ke jalan raya berhimpun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan menjemput Trump yang bersekongkol dengan Israel dalam menindas Palestin sama sahaja dengan membuka pintu rumah kita kepada penjajah yang berlumuran darah.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini.

Anwar berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin serta perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran, dengan cara berstrategi.

Dr. Mohamad Izwan berkata, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa jemputan Trump ke Malaysia boleh dianggap selari dengan maqasid syariah.

Sebaliknya, menolak atau menentang individu seperti beliau—yang jelas menyokong dasar Amerika Syarikat bersekongkol dengan Israel—adalah sebahagian daripada usaha menegakkan maqasid itu sendiri.

Katanya, umat Islam tidak boleh lagi berdiam diri dengan penindasan melalui bantuan makanan dan perubatan oleh misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) yang turut disertai sekumpulan wakil dari Malaysia.

“Nyawa saudara-saudara kita di Palestin terus dibunuh, manakala ada pihak di Malaysia yang tanpa malu mendakwa jemputan Donald Trump kononnya selari dengan maqasid syariah. Ini satu penghinaan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pengkhianatan terhadap nilai keadilan itu sendiri!

Kita sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia perlu bersatu mempertahankan maqasid syariah, khususnya dalam melindungi nyawa saudara-saudara kita di Palestin yang dizalimi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment