SSEPANG 3 Okt. – Segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pagi ini beliau telah berhubung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung usaha membawa pulang aktivis dan sukarelawan Malaysia.
“Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia, selain meminta agar keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Sani dalam kenyataan berkata, kerajaan sudah melaksanakan rundingan diplomatik secara maksimum bagi proses membebaskan 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkiye, Qatar dan Amerika Syarikat (AS).
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel.
Pada masa sama, Sani berkata Perdana Menteri selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara turut bertanya khabar berkenaan keadaan keluarga delegasi dan kesihatan mereka.
“Perdana Menteri juga mohon sampaikan salam dan memberi sepenuh jaminan bahawa beliau sendiri melihat dan kerajaan Malaysia sedang laksana sehabis usaha untuk membebaskan semua delegasi kita.
“Mohon semua pendukung misi dan Gaza sama-sama kita mendoakan serta solat hajat supaya Allah mudahkan urusan ini,” katanya.
Nnnn
