ALOR SETAR 10 Jun – Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) harus diberi keutamaan peruntukan untuk naik taraf dan penyelenggaraan memandangkan ia laluan utama kepada penduduk di Utara untuk ke Pantai Timur dan sebaliknya.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata JRTB juga digunakan banyak kenderaan berat untuk mengangkut pelbagai barangan selain digunakan orang ramai yang berulang alik menggunakan kenderaan persendirian.
Bagaimanapun kata Sanusi, sejak sekian lama, keadaan jalannya tidak banyak berubah sejak ia mula dibuka sedangkan terdapat keperluan segera JRTB dinaik taraf mengikut keperluan semasa selain mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“(Selain) aspek keselamatan kenderaan awam dan disiplin pemandu, kena lihat rupa jalan. Saya harap pihak bertanggungjawab ambil kira faktor itu bukan sahaja kenderaan, tetapi rupa bentuk permukaan jalan juga.
Keutamaan peruntukan patut diberikan untuk diperbaiki, dilebar dan diluruskan jalan JRTB. Dahulu orang tak boleh lalu jalan itu waktu malam kerana ada komunis, boleh lalu setakat jam 6 petang sahaja, maka keadaan jalan ketika itu tak apa.
“Bila (komunis) selesai, orang boleh lalu siang dan malam, kenderaan semakin banyak dan kenderaan sekarang lebar tapi keadaan permukaan dan bentuk jalan itu masih keadaan lama,” katanya selepas Majlis Kolabrasi Strategik Bagi Kemajuan Projek Ikon Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) hari ini.
Sanusi turut mempertikai mengapa peruntukan besar diberikan di kawasan bandar yang sudah memiliki pelbagai infrastruktur, sedangkan keadaan JRTB tidak banyak berubah sejak dahulu lagi.
“Isteri saya orang Terengganu jadi saya hafal jalan itu, isteri saya mengajar di Merchang setahun, jadi saya berulang alik guna jalan itu, jumpa gajah itu biasa. Bentuk jalan itu kini perlu dinilai semula sesuai atau tidak dengan kelajuan kenderaan, kekerapan aliran trafik, semua kena ambil kira.
“Orang Utara nak ke Pantai Timur itu jalan utama mereka, bawa barang bekalan makanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat, itu jalan utama. Daripada beri peruntukan infrastruktur untuk negeri tertentu terlalu besar, berilah perhatian kepada jalan itu, jalan itu lebih ramai orang lalu.
“Jarak perjalanan jalan itu jauh pula, jadi jalan kena elok sebab jarak jauh, di kiri kanan jalan pula hutan, kalau jalan tak elok, (pemandu) lepas masuk dalam hutan. Tempat lain itu bandar ada infrastruktur lain, jalan itu satu-satunya perhubungan, kena beri perhatian,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terbabit dalam kejadian kemalangan bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di JRTB berdekatan Tasik Banding, Gerik, awal pagi semalam.
Sanusi berkata, pihaknya turut menghantar wakil menziarahi keluarga pemandu Perodua Alza yang menetap di Baling dan akan memantau keadaan dua mangsa yang masih dirawat di Hospital Baling ketika ini.
Nnn
