KOTA BHARU 10 Ogos – Kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berhubung keanggotaan Bersatu tergugur daripada Perikatan Nasional (PN) perlu dilihat dari sudut moral politk dan juga undang-undang.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, dari sudut moral, apabila Bersatu bertanding melawan PN, apakah mereka masih mahu duduk bersama PN? Jika dilihat sudut moral politik seolah-olah mereka sudah tidak mahu.
“Jika dilihat sudut moral politik seolah-olah mereka sudah tidak mahu, takkan lepas ini mahu terhegeh-hegeh pula,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Muktamar Tahunan Pas Kali ke-72, di sini, malam tadi.
Jelas Takiyuddin, PN tidak pernah membuat keputusan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan baru-baru ini untuk menyingkirkan Bersatu.
Sebaliknya, secara tiba-tiba pimpinan parti Bersatu membuat keputusan untuk menggunakan logo sendiri kerana mungkin berpandangan akan mendapat sokongan dan membentuk kerajaan.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi berkata, keahlian Bersatu dalam gabungan PN terlucut secara automatik selepas Presidennya, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Bagaimanapun Pengerusi PN, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam berkata, Bersatu masih kekal dalam gabungan PN.
Ahmad Samsuri berkata, kedudukan itu tidak berubah meskipun terdapat pemimpin Bersatu dilaporkan mempertikaikan keabsahan kepimpinan jawatankuasa PN kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Sementara itu, Takiyuddin berkata, PN bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya dipanggil RoS berhubung dakwaan pemimpin Bersatu.
“Itu hak dia nak buat apa-apa aduan kepada RoS, jika kita dipanggil untuk beri penjelasan, maka kita akan bagi penjelasan. Pas adalah ahli PN dan sudah tentu akan mempergunakan PN untuk parti-parti dalam gabungan itu,” katanya.
Nnn
