KUALA LUMPUR 27 Mei – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 7 Jun susulan tarikh 1 Zulhijjah 1446 jatuh pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman malam ini menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di TV1.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1446 Hijrah ialah pada Khamis, 29 Mei 2025.
Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Sabtu, 7 Jun 2025,” katanya.
Sementara itu, di SINGAPURA, Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir juga mengisytiharkan umat Islam di negara itu akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 7 Jun 2025.
Dalam satu kenyataan, beliau mengumumkan bahawa awal bulan Zulhijah 1446 Hijriah jatuh pada Khamis, 29 Mei 2025.
“Selamat menyambut kedatangan bulan Zulhijah dan Aidiladha buat seluruh umat Islam di Singapura.
Marilah kita mengambil kesempatan pada hari-hari mulia dalam bulan suci ini untuk memperbanyakkan amal ibadah dan mendoakan keselamatan para jemaah Haji serta semua yang ditindas, khususnya di Gaza, Palestin,” katanya.
nnn