PUTRAJAYA 7 Okt. – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik 15 sen seliter kepada RM5.15 dan RM4.67 bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi kekal pada RM5.27 seliter.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kenaikan itu didorong tekanan terhadap bekalan produk petroleum bertapis di pasaran antarabangsa, walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih.
Menerusi satu kenyataan, MoF memaklumkan walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi.
Dalam pada itu, penerima BUDI Madani RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter, berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.67 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.68 seliter atau 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Penerima BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.
“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, rakyat diseru supaya terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
“Perancangan perjalanan lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” menurut kenyataan itu.
Nnnnn
