Keris Jubli Perak 25 tahun pemerintahan

SHAH ALAM 7 Okt. – Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dipersembahkan Keris Jubli Perak, keris istiadat yang menggambarkan perjalanan pemerintahan baginda dan identiti negeri.

Keris yang sarat dengan simbolik warisan Melayu itu adalah sepanjang 25 inci (63.5 sentimeter) mempunyai 25 motif berbentuk siku atau chevron dengan sembilan tatahan batu permata serta menggunakan tujuh jenis besi.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, keseluruhan proses penghasilan keris itu mengambil masa selama 12 bulan, dengan setiap komponen dikerjakan secara cermat dan terperinci.

Setiap unsur pada keris berkenaan mempunyai makna tersendiri yang menggambarkan perjalanan pemerintahan baginda dan identiti negeri Selangor.

“Ukuran panjang keris sepanjang 25 inci memperingati 25 tahun pemerintahan Baginda, manakala penggunaan tujuh jenis besi melambangkan penyatuan kekuatan. Unsur Helang Putih pula menzahirkan keberanian dan kewibawaan.

“Sembilan tatahan batu permata mewakili sembilan daerah di Selangor. Sebanyak 25 motif berbentuk siku atau chevron pula mengabadikan perjalanan pemerintahan baginda, merentasi masa lalu dan masa kini serta membawa harapan ke masa hadapan,” menurut hantaran itu.

Selangor Royal Office turut memaklumkan penggunaan kayu Black Healer Wood menghubungkan keris ini dengan warisan serta kepercayaan tradisional Melayu, sementara tanduk kerbau melambangkan ketahanan dan kehalusan seni pertukangan.

Penghasilan keris istiadat itu didahului penyelidikan menyeluruh mengenai sejarah, perlambangan, seni pertukangan serta bentuk tradisional keris.

Reka bentuk awal kemudiannya melalui beberapa siri perbincangan sebelum dipersembahkan kepada baginda untuk pertimbangan dan penambahbaikan sehingga mendapat perkenan.

Selepas itu, artisan dan tukang mahir dilaksanakan dengan teliti untuk menghasilkan komponen utama merangkumi bilah, hulu dan sarung, selain pertukangan perak serta hiasan logam yang melengkapkan keunikan Keris Jubli Perak.

Kerja kemasan terakhir membabitkan pemasangan berlian dan batu permata terpilih pada sarung sebelum proses penggilapan dilakukan.

Menurut hantaran itu lagi, penghasilan keris itu diterajui Yayasan Rafulin melibatkan beberapa individu iaitu Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, Datuk Dr. Abdul Muati Zamri Ahmad, Datuk Ar. Wan Burhanuddin Wan Hassan dan Datuk Mohamed Raffe Chekku.

Keris Jubli Perak menjadi lambang peringatan yang bermakna terhadap 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor.

Penghasilannya turut menzahirkan kekayaan seni warisan Melayu serta dedikasi para artisan dalam memelihara dan memartabatkan seni pertukangan keris untuk diwarisi generasi seterusnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment