Zakat Selangor terima RM41.72 juta

SHAH ALAM 7 Okt. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM41.72 juta daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili pengerusinya, Abdul Rashid Hussain, tampil sebagai penyumbang zakat korporat terbesar tahun ini dengan bayaran RM27.01 juta.

Turut menunaikan zakat ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM5.60 juta, yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif,  Shamsul Ahmad.

Ini diikuti Kumpulan Kewangan Islam Maybank yang menyerahkan RM4.22 juta menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah.

Bank Rakyat yang diwakili Pengerusinya, Mohd Irwjjan Mohd Mubarak, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.38 juta, manakala Rural Capital Sdn Bhd mewakilkan Pengerusinya, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor, menyerahkan RM1.51 juta.

Semua bayaran zakat perniagaan berkenaan adalah bagi haul 2025.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Salehuddin Saidin; Pengerusi Zakat Selangor, Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi Zakat Selangor,  Ambrin Buang serta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari.

Related posts

Leave a Comment