AYER KEROH 7 Okt. – Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, berkata tempoh ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi persiapan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka Ke-16 adalah munasabah.
Katanya, tempoh berkenaan tidak terlalu panjang, malah memberi ruang secukupnya kepada SPR untuk membuat persiapan terutama membabitkan aspek logistik dan pusat mengundi dapat dilaksanakan dengan teratur.
Beliau berkata, tempoh ditetapkan SPR perlu dilihat secara positif dan tidak wajar disalah tafsir sebagai langkah strategik untuk memanjangkan tempoh pilihan raya.
“Siapa kata panjang? Kalau yang paling awal pun seperti yang dicadangkan sebelum ini adalah 17 Oktober (penamaan calon) dan pilihan raya pada 31 Oktober. Hanya dua minggu saja (beza).
Tak ada masalah… saya rasa (tempoh) tak panjang,” katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.
SPR hari ini menetapkan 14 November depan sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16 manakala hari penamaan calon ditetapkan 31 Oktober dan tarikh mengundi awal pada 10 November.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata semua pihak perlu memberikan keadilan dan kepercayaan sepenuhnya kepada SPR dalam menguruskan proses pilihan raya.
Beliau turut berharap tidak timbul sebarang prasangka buruk terhadap tempoh yang ditetapkan SPR, termasuk dakwaan ia mempunyai kaitan dengan sebarang perancangan politik.
“Saya harap tiada prasangka buruk (terhadap SPR dengan mengatakan ‘Oh ini mesti ada satu perancangan orang-orang ni (tertentu) dengan memanjangkan (tempoh menjelang) pilihan raya kerana ada isu-isu tertentu.’
“(Sebelum ini) Saya banyak menjalankan tugas atau kempen pilihan raya dan beranggapan tempoh ini adalah munasabah untuk SPR menguruskan urusan pilihan raya ini,” katanya.
Nnnnn
