1,070,000 jemaah haji tiba di Arab Saudi

RIYADH – Lebih satu juta jemaah dari pelbagai negara di seluruh dunia sudah tiba di Arab Saudi setakat 28 Zulkaedah bagi menunaikan ibadah haji tahun ini, kata Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 53 peratus daripada jumlah jemaah yang tiba adalah lelaki, manakala baki 47 peratus adalah wanita.

Bercakap pada sidang media kerajaan mengenai persiapan musim haji, beliau memaklumkan 94 peratus jemaah tiba melalui udara, manakala 4.83 peratus melalui pintu darat dan kira-kira 0.5 peratus lagi melalui laut.

Daripada 1.070,000 jemaah itu, seramai 249,493 jemaah tiba melalui inisiatif ‘Makkah Route’.

Menurut Dr Tawfiq, ketibaan jemaah diiringi sistem perkhidmatan dan penjagaan yang menyeluruh, hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada kepemimpinan negara.

Katanya, Kementerian Haji dan Umrah memulakan persiapan untuk musim haji dan umrah sejak Jun 2024 (Zulhijjah 1445 Hijrah), sejurus selepas tamatnya ibadah haji tahun lalu.

Persiapan itu termasuk penyediaan dokumen pengaturan awal kepada pelbagai negara serta penganjuran persidangan dan pameran haji terbesar pada Januari lalu di bawah naungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dengan penyertaan pemimpin dari 87 negara di seluruh dunia.

“Sebanyak 78 mesyuarat persiapan awal diadakan bersama pejabat haji yang menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan awal,” katanya.

Dr Tawfiq berkata, persidangan dan pameran haji itu turut membantu mendokumentasikan perjanjian dan kontrak antara syarikat melalui platform ‘Nusuk’ dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri bagi tujuan pengeluaran visa.

“Usaha itu dijangka memberi kesan positif terhadap harga dan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah,” katanya.

Pada musim haji ini, kerajaan Arab Saudi menyediakan 1.4 juta kad Nusuk untuk jemaah dan petugas haji.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment