Halangan Nurul Izzah hanya persepsi

MELIHAT ‘gelombang’ sokongan kepada Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, adakah keputusan akhir menyaksikan tiada pertandingan bagi jawatan itu, atau istilah mudah menang tanpa bertanding?

Tetapi siapa pula bakal menang tanpa bertanding, jika keadaan itu berlaku? Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh terjadi pada saat-saat akhir “demi perpaduan dan kekuatan” parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Apa pun penyandang jawatan, Rafizi Ramli sudah bersedia menghadapi saingan terutama melibatkan Nurul Izzah dan bekas Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail. Rafizi mulanya mahu berundur.

Kata Rafizi, apa juga pilihan perwakilan parti, ia membuka ruang kepadanya untuk menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi PRU16.

“Jika dipilih, saya boleh terus memainkan peranan di dalam kepemimpinan parti sebagai Timbalan Presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan. Jika tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya.

Setakat ini hampir tidak ada yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Rafizi, kecuali seorang dua Ketua Cabang berbanding apa yang diterima oleh Puteri Reformasi, anak Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Siapa lagi yang tinggal menyokong Rafizi? Adakah Anwar dan Saifuddin yang meminta Rafizi mempertahankan jawatan itu akan memberi sokongan kepada beliau seandainya berlaku pertandingan tiga penjuru?

Atau apakah Anwar dan Saifuddin mempunyai strategi lain apabila meminta Rafizi bertanding walaupun Menteri Ekonomi itu sudah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan dan sedia memberi laluan kepada Menteri Dalam Negeri.

Saifuddin pula masih berteka teki walaupun sebelum ini menyatakan akan membuat keputusan pada saat akhir.

“Saya masih ada masa untuk istikharah. Sebelum ini, saya sudah mengadakan perbincangan selama empat jam dengan Datuk Seri Rafizi Ramli, selain berjumpa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa kali,” katanya baru-baru ini.

Jika Nurul Izzah memutuskan untuk bertanding, apakah harapan yang ada pada Rafizi apabila Selangor, negeri yang diwakilinya sebagai Ahli Parlimen Pandan secara terbuka sudah mengisytiharkan sokongan kepada Nurul Izzah?

Begitu juga Saifuddin. Adakah beliau mempunyai penyokong senyap, tidak bergantung kepada kenyataan sokongan terbuka sama ada dari Ketua Cabang atau sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan?

Nama Saifuddin kini tenggelam disebabkan gelombang sokongan kepada Nurul Izzah. Kiri kanan, depan, belakang, Nurul Izzah mendapat sokongan.

Namun, sokongan itu daripada ketua-ketua cabang. Harus diingat ada lebih 20,000 perwakilan yang layak mengundi.

Hakikatnya tidak ada yang boleh menghalang kemaraan Nurul Izzah untuk menawarkan diri bagi jawatan No. 2 untuk membantu bapanya mengemudi PKR kecuali persepsi ‘parti anak beranak’. Tetapi itu persepsi orang luar terutama musuh politik PKR. Di dalam parti, tidak timbul masalah itu,”

Pandailah PKR mengurus persepsi itu dan mempertahankan kewajaran Nurul Izzah mengisi jawatan No.2 parti.

Malahan ketika ini pun ramai pimpinan PKR mempertahankan Nurul Izzah jika Puteri Reformasi itu memutuskan sama ada pada Khamis atau Jumaat bertanding jawatan Timbalan Presiden atau sekadar mempertahankan Naib Presiden sahaja.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menafikan wujud amalan nepotisme dalam pemilihan selepas pimpinan parti pelbagai peringkat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden.

“Tidak benar (dakwaan wujud nepotisme). Keadilan (PKR) meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk membuat pilihan pemimpin yang mereka rasakan dengan harapan serta aspirasi untuk penggal 2025-2028,” katanya.

Begitu juga dengan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek ketika menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah  menolak dakwaan bahawa sokongan itu kerana bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu anak Anwar.

“Ini bukan soal anak siapa. Ini bukan soal lelaki atau wanita. Ini bukan soal fraksi siapa. Ini soal kelangsungan sebuah parti keramat yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti.

“Nurul Izzah, selayaknya berada di posisi Timbalan Presiden, menavigasi parti ini bersama seluruh kekuatan angkatan dan pimpinan,” kata Menteri Pendidikan itu.

Katanya, Nurul Izzah adalah tokoh pimpinan muda yang lahir ketika PKR membina kekuatan di akar umbi, ada di setiap fasa, bermula dari gelombang merakyatkan reformasi, penubuhan PKR, mencipta sejarah sebagai pasukan pembangkang terkuat dalam sejarah Negara sehinggalah pembentukan Kerajaan Madani.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang pandangannya kadang kala tidak memihak kepada Anwar atau kerajaan turut memberi sokongan terbuka kepada Nurul Izzah untuk bertanding jawatan itu.

Baginya, Nurul Izzah merupakan “penyelamat” PKR daripada mendapat seorang timbalan presiden yang “tidak sesuai” dan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang inginkan pemimpin matang.

Hassan mengakui beliau menentang amalan kronisme, sama ada dalam kerajaan mahupun parti tetapi dalam hal ini, bekas pemimpin PKR Johor itu rela berada di barisan hadapan untuk mempertahankan anak perdana menteri itu.

Baginya, Nurul Izzah tidak boleh dinafikan hak untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden hanya kerana dia anak Anwar.

Hakikatnya Nurul Izzah layak menawarkan diri. Begitu juga Saifuddin. Kita tunggu dan lihat pencalonan pada 8 dan 9 Mei. Adakah jawatan Timbalan Presiden ditandingi satu lawan satu atau tiga penjuru.

Dan menarik juga untuk diperhatikan jawatan Presiden. Siapa tahu ada pula yang mahu mencabar Presiden!

Nnnn

Related posts

Leave a Comment