Pelayaran MV Hondius berakhir

THE HAGUE – MV Hondius, kapal persiaran yang mencetuskan kebimbangan global susulan wabak maut hantavirus menamatkan pelayarannya di Rotterdam, selepas berlabuh di pelabuhan Belanda itu kira-kira pukul 10 pagi (0800 GMT) semalam.

Sehingga kini, seramai 27 individu masih berada di atas kapal yang merangkumi 25 kru dan dua petugas perubatan yang berdepan kuarantin selama beberapa minggu.

Kapal yang dikendalikan syarikat Belanda Oceanwide Expeditions itu menjadi perhatian dunia selepas tiga penumpang meninggal dunia akibat hantavirus, iaitu virus jarang ditemui dan tidak mempunyai vaksin atau rawatan khusus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha menenangkan kebimbangan global dengan menegaskan wabak itu bukan gelombang baharu seperti pandemik Covid-19 sambil menyatakan risiko jangkitan adalah sangat rendah.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata tiada tanda bahawa dunia sedang menyaksikan permulaan wabak yang lebih besar.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah beberapa minggu, sekali gus membuka kemungkinan munculnya kes baharu dalam kalangan individu di atas kapal.

Setakat ini, enam kes hantavirus sudah disahkan dengan satu lagi kes berkemungkinan.

Selepas tiba di Kepulauan Canary pada 10 Mei lalu, lebih 120 penumpang dan kru sudah dipindahkan dari kapal itu sama ada ke negara asal masing-masing atau ke Belanda.

Seorang wanita Perancis berusia 65 tahun mula menunjukkan simptom ketika penerbangan pulang dan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital Paris dengan jangkitan hantavirus yang disahkan.

Dua individu lain warga Belanda dan Britain, turut dipindahkan segera ke Belanda dan dimasukkan ke hospital serta dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala warga Britain itu dibenarkan pulang untuk menjalani pengasingan diri.

Related posts

Leave a Comment